KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi dagangan industri komoditi negara secara keseluruhan pada tahun lepas memberi dorongan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk merancakkan lagi aktiviti di peringkat industri di huluan dan hiliran, kata Timbalan Menteri KPPK, Datuk Willie Mongin.
Beliau berkata, pencapaian itu amat membanggakan dalam keadaan negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.
Sektor agrikomoditi negara dilaporkan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM191.7 bilion tahun lepas, meningkat 14 peratus daripada RM16.8 bilion pada 2019.
“Dalam kesukaran, kita dapat meningkatkan eksport ke negara luar dan mampu meningkatkannya kepada RM192 bilion.
“Ini disusuli harga minyak sawit di peringkat dunia yang mencapai paras RM4,270 satu tan (pada 9 April). Kita juga melihat peningkatan harga komoditi lain seperti getah, lada, koko dan kayu-kayan,” katanya dalam program Bicara Naratif bertajuk Darurat: Sektor Komoditi Terus Bekerja Demi Ekonomi Negara di TV1, semalam.
Willie berkata, harga lada hitam meningkat kepada RM11 sekilogram berbanding RM5 sekilogram tahun lepas, manakala harga lada putih turut naik kepada RM17.50.
Willie berkata, faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian prestasi itu termasuk penerokaan pasaran baharu di Asia Timur, Timur Tengah dan Afrika yang menyebabkan permintaan meningkat dan harga yang lebih baik berikutan jumlah stok yang ada.
Katanya, usaha harus dilakukan untuk mengekalkan harga yang dinikmati hari ini, malah menambah baik harga itu pada masa akan datang.
“Itulah hasrat kita di peringkat kementerian. Kita selalu menyusun strategi dan melihat daripada pelbagai aspek supaya dapat menumpukan pada satu strategi untuk memperbaiki harga komoditi kita.
“Sebagai contoh, di peringkat industri lada, kita memperkenalkan sistem koperasi dan syarikat pemasaran iaitu Saraspice Sdn Bhd untuk membantu memasarkan produk lada hitam supaya mempunyai harga pasaran yang lebih baik,” katanya.
Saraspice Sdn Bhd adalah anak syarikat milik Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang ditubuhkan pada 12 September 2019 untuk menjalankan aktiviti komersial sepenuhnya bagi merancakkan pembangunan industri hiliran lada dan aktiviti pemasaran lada.
Willie berkata pada 2020, eksport lada menyaksikan pertumbuhan 17 peratus kepada RM121 juta dengan pasaran utama termasuk Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Singapura, Thailand dan Kesatuan Eropah.
“Sebelum ini, negara mempunyai harga lada yang begitu rendah dan ia melemahkan semangat pekebun-pekebun kecil untuk mengusahakan ladang dan kebun lada mereka.
“Apabila ada peningkatan harga pada masa kini dan inisiatif kerajaan dalam menggalakkan projek penanaman baru, bantuan subsidi serta bantuan input pertanian, ini dapat mengurangkan bebanan dalam kalangan pekebun kecil dan memberi dorongan kepada mereka untuk terus mengusahakan ladang,” katanya.
Malaysia mempunyai kawasan tanaman lada berkeluasan 8,022 hektar dan 38,378 pekebun kecil di seluruh negara iaitu 94 peratus dari Sarawak dan selebihnya di Semenanjung dan Sabah.
Kerajaan turut menyalurkan bantuan input pertanian pekebun kecil lada di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai RM16.11 juta.
“Di peringkat kementerian, kita juga melaksanakan inisiatif baharu di mana kita akan dan sedang membuka 115 hektar kawasan tanaman lada baharu,” katanya.
Menurut Willie, pada tahun ini sebanyak RM2.99 juta diperuntukkan untuk pembukaan kawasan tanaman lada baharu yang mana MPB, agensi di bawah KPPK bertanggungjawab untuk memastikan pertumbuhan dan daya maju industri lada di negara ini.
Beliau berkata, apa yang berlaku pada masa ini adalah ramai pemain industri di peringkat peraih dan eksport yang mengimport biji lada dari negara luar seperti Vietnam, India dan Brazil dan menggunakan penjenamaan lada Sarawak.
“Ini mencemarkan kualiti lada Sarawak itu sendiri kerana kualitinya memang begitu tinggi dan dikenali seluruh dunia. Ini adalah tumpuan yang kita berikan kepada MPB,” katanya. – Bernama