KUCHING: SPS Prihatin Wanita adalah dana padanan kerajaan sebagai insentif pelindungan keselamatan sosial khusus bagi wanita yang bekerja sendiri dan usahawan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),Dato Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bagi negeri Sarawak setakat ini hanya sembilan orang sahaja yang telah mendaftar untuk SPS Prihatin Wanita.
“Di seluruh negara yang telah mendaftar adalah sebanyak 148 orang manakala di negeri Sarawak ini terdapat sembilan orang di mana empat daripadanya dari Kuching dan selebihnya di kawasan-kawasan lain.
“Walaupun baru bermula sejak 1 April lalu, namun begitu dalam tempoh 14 hari ini seramai 148 orang telah mendaftar dan peruntukkan yang di peruntukan oleh kerajaan adalah RM10 juta untuk SPS Prihatin Wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil penghargaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman mengajak golongan wanita yang bekerja sendiri di negeri ini untuk mengambil peluang dengan mendaftarkan diri di pejabat PERKESO yang berdekatan.
“Jadi, saya minta para wanita di seluruh negeri Sarawak yang bekerja sendiri ambilah peluang yang ada ini untuk mendaftar kerana 70 peratus daripada caruman akan dicarum oleh kerajaan dan 30 peratus sahaja perlu dicarum oleh mereka.
“Malang tidak berbau, tetapi inilah sedikit bantuan daripada kerajaan untuk membantu kaum wanita yang bekerja sendiri.
“Oleh itu, sila maju ke hadapan, kalau berkerja sendiri dijemput untuk mendaftarkan diri dan mengambil peluang di mana kerajaan telah memperuntukan yang agak tinggi iaitu 70 peratus,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan 100 peratus bantuan caruman kepada mereka yang bekerja sendiri di bawah SKIM Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“Peruntukkan untuk 100 ribu pekerja yang bekerja sendiri dan sehingga kini daripada jumlah peruntukan itu hampir RM68 ribu pekerja yang telah mendaftar di seluruh negara
“Di Negeri Sarawak sahaja hampir 5,300 individu yang bekerja sendiri telah mendaftar di bawah skim SPS Lindung,” ujarnya.
Katanya, ramai yang menganggap ia sebagai satu beban, tetapi tidak melihat dengan lebih mendalam tentang faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ini.
“Jangan menganggap caruman ini sebagai satu beban, tetapi ini merupakan pelindungan keselamatan sosial untuk memastikan bahawa kesinambungan gantian pendapatan, dan keluarga juga terjamin jika berlakunya sebarang kemalangan dan kecederaan.
“Ini merupakan jaringan keselamatan sosial untuk memastikan dan menjamin pekerja ini akan terus dapat meneruskan kehidupan mereka walaupun mereka mengalami kemalangan, hilang upaya dan kecederaan,” katanya lagi.