
KUCHING: AirBorneo menafikan kesahihan tangkap layar yang memaparkan tambang penerbangan serendah RM195.60 bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur yang kini tular di media sosial.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, syarikat penerbangan itu mengesahkan tangkap layar berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan menerusi mana-mana platform rasminya.
Menurut AirBorneo, maklumat yang tersebar itu tidak mencerminkan tambang sebenar yang ditawarkan syarikat dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan kandungan yang tidak disahkan.
“Hantaran itu adalah palsu. Orang awam dinasihatkan untuk tidak percaya kepada sebarang posting atau tangkap layar yang terdapat di dalam talian melainkan daripada saluran rasmi AirBorneo,” menurut kenyataan ringkas syarikat itu kepada Utusan Sarawak hari ini.
Sejak kebelakangan ini, beberapa tangkap layar memaparkan dakwaan tambang penerbangan AirBorneo pada harga tertentu telah tersebar di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
Sehubungan itu, AirBorneo mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat berkaitan jadual penerbangan, promosi dan tambang hanya melalui laman sesawang serta platform media sosial rasmi syarikat bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Orang ramai juga disaran agar tidak berkongsi atau mempercayai sebarang maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana ia boleh mengelirukan pengguna serta mencetuskan salah faham mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan itu.
Oleh Shahrul Qaizat