
SEATTLE, Amerika Syarikat: Kapten Belgium, Youri Tielemans, mendedahkan bahawa pasukannya memperoleh suntikan semangat susulan kontroversi membabitkan Folarin Balogun sebelum menewaskan Amerika Syarikat (AS) 4-1 pada saingan Piala Dunia, pada perlawanan 8.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Tielemans berkata, para pemain Belgium mengadakan mesyuarat pasukan sejurus selepas FIFA membuat keputusan mengejut menggantung pelaksanaan hukuman penggantungan Balogun, dan mereka bertekad untuk membuktikan keupayaan di atas padang ketika menentang salah sebuah negara tuan rumah Piala Dunia itu.
“Terus terang, kami mengadakan mesyuarat sebaik sahaja mendengar berita itu,” kata Tielemans ketika mengulas kontroversi membabitkan Balogun.
“Kami berjanji bahawa jawapan terbaik ialah menerusi aksi di atas padang. Itulah yang kami lakukan hari ini. Saya amat bangga dengan pasukan ini,” kata pemain tengah Aston Villa itu kepada penyiar Belgium, RTBF.
Balogun disenaraikan dalam kesebelasan utama AS selepas FIFA menggantung pelaksanaan hukuman penggantungan satu perlawanan yang dikenakan terhadapnya susulan kad merah yang diterimanya pada pusingan 32 terbaik.
Bagaimanapun, penyerang itu gagal memberikan impak yang besar sepanjang perlawanan.
Keputusan mengejut FIFA itu dibuat selepas campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali gus mencetuskan kecaman meluas daripada penyokong, pemain dan pemerhati bola sepak di seluruh dunia.
“Kami bermain dengan penuh semangat juang.
“Kami mahu memulakan perlawanan dengan baik, sesuatu yang gagal kami lakukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Kami tahu bahawa jika kami memberikan tekanan kepada mereka sejak awal, mereka pasti akan melakukan kesilapan,” katanya. – AFP