KUCHING: Seramai 1,700 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada 3,381 keluarga telah menerima bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melalui Program Kasih Ramadan.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Mohd Nailie berkata, ia bertujuan untuk meringankan beban penerima semasa bulan Ramadan ini.
“Program Kasih Ramadan ini adalah satu usaha Tabung Baitulmal Sarawak menghantar bantuan kepada mereka yang dalam senarai kita iaitu daripada keluarga yang boleh dikatakan daif yang di dalam bantuan saraan hidup kita setiap bulan.
“TBS menghantar bantuan ini pada awal bulan Ramadan untuk memudahkan mereka supaya dapat turut serta melaksanakan ibadah puasa dan pada masa yang sama mengambil input baru daripada penerima.
“Bukan itu sahaja, melalui penghantaran bantuan ini, kita juga dapat mencari penyelesaian yang lebih baik lagi dalam membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kasih Ramadan Tabung Baitulmal Sarawak, di Ummah Distribution Centre ( UDC ), Medan Hamidah, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata program tersebut akan dilaksanakan di seluruh Sarawak melalui cawangan-cawangan TBS di setiap bahagian.
“Untuk hari ini (semalam), kumpulan kami di Kuching akan bergerak ke beberapa buah tempat untuk menyampaikan bantuan kepada beberapa buah rumah yang ada di dalam senarai.
“Kita akan mulakan program ini di Kuching dahulu dan seterusnya ke beberapa cawangan TBS di setiap bahagian dan ianya dijalankan secara serentak,” ujarnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO