
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa dalam persekitaran pelabur yang terus memberi tumpuan terhadap prospek kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu menyusut berbanding kebanyakan mata wang utama kecuali yen Jepun dan baht Thailand.
Pada 8.00 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0815/0880 berbanding dolar AS 4.0825/0875 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur masih memberi tumpuan kepada Fed, manakala daya tahan sektor perkhidmatan AS dijangka terus menyokong pengukuhan dolar AS.
“Indeks Perkhidmatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS susut kepada 54.0 pada Jun daripada 54.5 pada bulan sebelumnya. Meskipun mencatatkan penurunan, sentimen perniagaan dalam sektor perkhidmatan kekal agak berdaya tahan.
“Selain itu, kenyataan Gabenor Fed Christopher Waller yang kembali menegaskan komitmen Fed untuk mengembalikan inflasi kepada sasaran dua peratus menunjukkan kadar faedah berkemungkinan kekal tinggi bagi tempoh yang lebih lama, sekali gus terus menyokong dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.6696/6771 daripada 4.6543/6640 ketika ditutup pada Isnin dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4668/4755 daripada 5.4336/4449 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5179/5221 daripada 2.5203/5257.
Berbanding mata wang serantau, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah.
Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1593/1648 daripada 3.1500/1571 ketika ditutup pada Isnin, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 226.8/227.2 daripada 226.5/227.1 sebelum ini dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.63/6.65 daripada 6.62/6.64.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2545/2807 daripada 12.2627/2942. – Bernama