PORT-AU-PRINCE: Tujuh paderi Katolik, lima daripadanya Haiti dan dua rakyat Perancis diculik pada Ahad lalu, kata jurucakap Persidangan Uskup untuk negara kepulauan itu yang turut digegarkan rusuhan.
Lima imam dan dua biarawati itu diculik pada waktu pagi di Croix-des-Bouquets yang terletak di timur laut ibu kota Port-au-Prince, ketika mereka sedang dalam perjalanan ke majlis pengenalan paderi baharu gereja,” ujar Pastor Loudger Mazile kepada AFP.
Penculik menuntut wang tebusan AS$ 1 juta untuk kumpulan itu yang diculik merangkumi seorang paderi Perancis dan seorang biarawati Perancis, tambahnya.
Persidangan Agama Haiti (CHR) mengatakan dalam satu kenyataan bahawa tiga individu lain juga diculik pada masa hari yang sama.
Pihak berkuasa mengesyaki kumpulan bersenjata yang disebut ‘400 Mawozo’ yang aktif dalam penculikan dan merupakan dalang penculikan itu, menurut sumber polis.
Bagaimanapun, Kedutaan Perancis di Haiti tidak memberi respons bagi memberi komen kepada AFP
Penculikan tebusan meningkat dalam beberapa bulan terakhir di Port-au-Prince dan provinsi lain yang mencerminkan pengaruh geng bersenjata yang semakin meningkat di negara Caribbean.
Geng culik semakin meningkat
“CHR mengungkapkan kesedihannya tetapi juga kemarahannya terhadap penculikan manusia yang telah kita lalui selama lebih dari satu dekad.
“Tidak satu hari berlalu tanpa menangis dan ketakutan, namun apa yang disebut pemimpin negara ini, sambil berpegang teguh pada kekuasaan, semakin tidak berdaya,” kata kumpulan agama itu dalam satu kenyataan.
Pada Mac lalu, pemerintah Haiti mengisytiharkan keadaan darurat selama sebulan untuk memulihkan kewibawaan negara di kawasan yang dikendalikan geng penculikan termasuk di ibu kota.
Langkah itu didorong oleh tindakan geng bersenjata yang menculik orang untuk tebusan, menyatakannya secara terbuka, mencuri, merampas harta benda awam serta secara terbuka berdepan dengan pasukan keamanan awam.
Peningkatan keganasan geng dan ketidakstabilan politik baru-baru ini telah menarik penunjuk perasaan di jalan utama di Port-au-Prince.
Seminggu yang lalu, beratus-ratus penunjuk perasaan wanita melakukan protes di bandar menentang kekuatan geng yang semakin meningkat yang menyebabkan lonjakan penculikan untuk tebusan.
Haiti, negara termiskin di Amerika, juga mengalami krisis politik selama sebulan.
Presiden Jovenel Moise berpendapat bahawa tempoh jawatannya berlangsung sehingga 7 Februari 2022, tetapi yang lain mendakwa ia berakhir pada 7 Februari 2021.
Perselisihan itu berpunca daripada kenyataan bahawa Moise dipilih dalam undi yang dibatalkan kerana penipuan dan kemudian dipilih semula setahun kemudian.
Haiti dilandi krisis politik pada 2020 tanpa Parlimen dan Moise terus memerintah sehingga menyebabkan rakyat semakin tidak mempercayainya.
Ketika ketidakstabilan politik melanda, Moise mengatakan bahawa dia merancang untuk mengadakan referendum perlembagaan. -AFP