BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep turun padang melakukan lawatan ke kawasan pertanian di kawasan Joring Kampung Segong, baru-baru ini.
Menurut Henry, lawatan tersebut adalah bertujuan untuk mengadakan tinjauan di kawasan penanaman nenas tersebut.
“Kawasan ini diusahakan oleh Negren Ratep dan lawatan ini diadakan bertujuan untuk melihat permasalahan yang dihadapi.
“Lawatan ini juga untuk mengenal pasti keperluan penduduk yang akan mula membuka tanah untuk pertanian dan membina rumah di kawasan itu setelah jalan raya dibina,” ujarnya.
Dalam lawatan tersebut, Henry juga menyarankan ketua kampung untuk mendaftarkan jalan tersebut di bawah Majlis Daerah Bau.
“Tugas ketua kampung selepas ini adalah untuk menulis kepada pihak Majlis Daerah Bau supaya jalan ini didaftarkan di bawah Majlis Daerah Bau.
“Hal ini kerana untuk membolehkan jalan dapat diselenggara, rumput dipotong dan diturap,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membantu rakyat untuk memajukan kawasan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA