SADONG JAYA: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM462.23 juta untuk menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air di Bahagian Samarahan sejak 2018.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, peruntukan itu bertujuan membangunkan 23 projek bekalan air berimpak tinggi dari Kota Samarahan ke Sebuyau termasuk Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
Menurutnya, projek-projek air tersebut dirancang dengan teliti melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di bahagian berkenaan.
“Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga dijangka akan melonjakkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke tapak projek bekalan air di Stesen Pam Penggalak Asajaya dan tapak projek Tangki Aras Tinggi Sadong Jaya di sini, semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, projek yang dijangka siap menjelang 2022 itu melibatkan kerja-kerja pembinaan saluran paip baharu, pembinaan tangki aras tinggi, pembinaan stesen pam penggalak, penggantian saluran paip lama serta kerja-kerja menaiktaraf loji rawatan air.
“Setakat ini, sebanyak 12 projek telah siap dan berjaya menangani isu bekalan air di beberapa kawasan di Asajaya dan Sadong Jaya,” ujarnya.
Beliau menambah, bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Samarahan, JBALB akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
“Projek-projek ini merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,” jelasnya.
Hadir sama Ahli Parlimen Kota Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Residen Kota Samarahan Brahim Lumpu dan Pengarah JBALB Chang Kuet Shian.
Oleh JEAKQLEYN YACHO