KUCHING: Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sarawak bersetuju agar Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) turut ditubuhkan di negeri ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu dibuat susulan daripada peningkatan pesalah dadah yang semakin membimbangkan di negeri ini.
“Pada masa ini, Sarawak tidak mempunyai pusat ini iaitu khas untuk mereka yang terlibat dengan masalah dadah dan empat PPA yang sedia ada berada di Semenanjung Malaysia iaitu di Simpang Renggam (Johor), Machang (Kelantan), Batu Gajah (Perak) dan Muar (Johor).
“Kita mahu kalau dapat di Sarawak juga ditubuhkan satu pusat seperti ini supaya mereka yang ditangkap di Sarawak boleh ditahan di sini sahaja dan tidak perlu dihantar ke Semenanjung Malaysia.
“Ini adalah kerana kadang-kadang apabila dihantar ke PPA bukannya hendak menjadi semakin bagus malah dengan mereka yang dimasukkan ke PPA tersebut dari segi operasi mereka dalam penyebaran dadah adalah lebih canggih dan rakyat Sarawak ini akan menjadi lebih terdedah kepada perkara-perkara yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sempena Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sarawak anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, di bangunan Baitulmakmur 2, semalam.
Beliau yang juga Menteri pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian turut mendedahkan, terdapat tiga Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) yang telah dikenal pasti oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mana statistik mereka yang terlibat dengan dadah adalah tinggi.
“Antara kampung-kampung atau kawasan tersebut adalah di Kampung Tabuan Melayu, Matang dan Bekenu.
“Ekoran daripada maklumat tersebut, kegiatan secara bersepadu dan juga program-program tertentu akan dilakukan di tempat tersebut dan juga memberi kesedaran kepada masyarakat yang terdapat di kawasan tersebut tentang bahayanya dadah,” katanya.
Bagaimananpun, apabila KBT telah dikenal pasti ia bukan bermakna tempat-tempat lain bebas daripada dadah.
“Kerana kalau kita lihat, masalah dadah di Sarawak ini ia bukannya terhad kepada kawasan bandar sahaja malah maklum balas yang kita dapati daripada AADK dan pihak polis menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah ini telah menular jauh ke kawasan pendalaman di setiap daerah dan ia melibatkan suku kaum yang pelbagai.
“Dan ini menunjukkan penularan masalah dadah sudah merunsingkan dan juga membahayakan keadaan dan ini memerlukan usaha yang halus dan memerlukan semua agensi-agensi termasuk masyarakat untuk bersama-sama menangani masalah ini sebagai masalah kita bersama,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO