Siapa pun akan jatuh cinta dengan keenakan kuih Takir yang enak ini. Dengan tekturnya yang lembut dan gabungan rasa manis, masin dan lemak, kuih tradisi ini memang berada di kelasnya yang tersendiri.
Tambahan pula sukar untuk menemui kuih ini di mana-mana berbanding kuih tradisional Sarawak yang lain. Ini mungkin kerana proses pembuatannya lebih sukar dan memerlukan kepakaran khas, terutama untuk menyiapkan ‘perahu’ atau kelonsong kuih ini.
Bagi Tina Bujang, 46, dari Bandar Baru Samariang, kuih Takir menjadi sumber rezekinya setiap hari. Bak kata pepatah lama ‘alah bisa tegal biasa’, membuat kuih Takir sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi beliau.
Menurut Tina, beliau mewaris kemahiran membuat kuih ini daripada ibu beliau yang sememangnya pakar di dalam pembuatan kuih-kuih tradisional Sarawak.
“Bahan-bahan kuih ini tidaklah banyak, cuma perlukan gula apong, pati santan, tepung beras dan garam,” kata Tina.
Adunan kuih ini perlu dimasak terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kelongsong dan kemudian dikukus.
“Walaupun nampak mudah namun orang yang belum pernah membuat kuih ini pastinya akan menghadapi kesukaran untuk menghasilkan ‘perahu’ kerana inilah yang menjadikan kuih Takir kelihatan istimewa dan lain daripada kuih tradisional lain,” tambah Tina.
‘Perahu’ Takir ini dihasilkan daripada daun apong (dialek tempatan) atau daun nipah. Keharuman daun akan terkeluar apabila dikukus dan ini memberi aroma tersendiri untuk kuih Takir.
Bagi Tina, beliau lebih suka mencari sendiri daun ini di hutan berhampiran Sungai Batu, tidak jauh dari jambatan Santubong, kerana mahukan daun yang segar dan lebar saiznya.
Kata beliau, saiz dan kesegaran daun penting demi menjaga kualiti kuih Takir dari air tangan beliau.
“Kadang-kadang bila tidak larat, saya beli daun ini tetapi kebiasaannya daun tersebut lebih kecil saiznya. Bila dibuat ‘perahu’, saiznya kecil. Saya tak sampai hati nak menjual jika saiznya tak sama dengan yang biasa saya jual,” kata Tini.
Takir buatan Tini dijual dengan harga 50 sen sebiji dan biasanya dijual secara atas talian kerana beliau tidak larat untuk berjual di gerai.
Sehingga kini permintaan terhadap kuih Takir ini sentiasa lumayan sehingga beliau tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.
Malah beliau menjangkakan kesibukan memanjang sepanjang bulan puasa ini nanti kerana ramai pengusaha gerai sudah menempah Takirnya untuk dijual sebagai juadah enak untuk berbuka puasa.
Oleh HAINI DARANI