ROMPIN: Peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri diingatkan untuk mematuhi etika perniagaan yang baik termasuk tidak mengambil kesempatan menaikkan harga, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, KPDNHEP juga akan melaksanakan pemantauan di bazar berkenaan bagi memastikan harga jualan tidak membebankan pembeli serta peniaga mematuhi semua peraturan disyaratkan seperti meletakkan tanda harga.
“Saya harap peniaga tahu tanggungjawab mereka kerana ini adalah perkara yang berlaku setiap tahun. Kita akan pantau dan kawal supaya harga jualan tidak melebihi harga maksimum ditetapkan menerusi skim kawalan harga.
“Harga maksimum itu ditetapkan setelah kita melihat pelbagai keadaan dan senario ekonomi, selain membuat kajian, pemantauan dan konsultasi pelbagai pihak berkaitan supaya kita boleh memperoleh persetujuan mengenai harga yang berpatutan itu,” katanya.
Nanta berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Food Bank Siswa di Politeknik Muadzam Shah di sini semalam, yang turut dihadiri pengarah politeknik itu Hassan Ismail dan Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin.
Mengulas mengenai Program Food Bank Siswa, Nanta berkata, sejak dilancarkan pada Februari 2019 hingga kini, seramai 17,954 mahasiswa dari 26 institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat menerima bantuan berkenaan.
— Bernama