
KAHERAH: Sebuah beca bermotor terjunam ke dalam terusan di wilayah Asyut, selatan Mesir semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak dan mencederakan dua yang lain, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku di daerah Abu Tig, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbiran wilayah Asyut.
Gabenor Mohamed Alwan melawat lokasi kejadian bagi menyelia operasi mencari dan menyelamat serta menyelaras tindakan bersama pihak eksekutif, keselamatan dan penyelamat, menurut kenyataan itu.
Alwan berkata pentadbiran wilayah mengerahkan semua sumber yang ada bagi menangani tragedi itu, sambil menegaskan bahawa melindungi nyawa dan keselamatan rakyat merupakan keutamaan.
Beliau turut mengarahkan pemasangan penghadang konkrit serta langkah perlindungan lain di kedua-dua tebing terusan itu dengan kerjasama pihak berkuasa sumber air dan pengairan bagi meningkatkan aspek keselamatan serta mengelakkan kejadian sama berulang.
Pentadbiran wilayah itu mengesahkan angka awal korban ialah sembilan orang, manakala dua lagi cedera ketika pihak berkuasa meneruskan prosedur di lokasi kejadian. – Bernama