Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Seorang hakim cuti sakit, keputusan Syed Saddiq ditangguh 13 Julai
  • MAHKAMAH

Seorang hakim cuti sakit, keputusan Syed Saddiq ditangguh 13 Julai

Utusan Sarawak 4 hours ago
AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, tiba di Istana Kehakiman hari ini, bagi mendengar keputusan sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). Foto Bernama

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan 13 Julai berikutan seorang panel hakim Mahkamah Persekutuan bercuti sakit.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan berkata mahkamah telah bersedia dengan keputusan, namun tidak dapat memberikan keputusan hari ini.

“Saya dengan Yang Arif Datuk Collin Lawrence Sequerah ada di mahkamah, tetapi Yang Arif Datuk Che Ruzima tidak bersama kami kerana kami diberitahu Yang Arif Che Ruzima tidak sihat dan bercuti rehat untuk hari ini dan esok. Adalah tidak wajar untuk mahkamah menyampaikan keputusan tanpa kehadiran seorang daripada anggota panel hakim,” katanya.

Hakim Abu Bakar berkata mahkamah telah dimaklumkan mengenai keadaan Che Ruzima lewat petang semalam.

“Kami boleh mengarahkan pihak pendaftar memaklumkan kepada semua pihak semalam bahawa keputusan tidak dapat disampaikan hari ini, namun ketika itu hari sudah lewat. Saya berpendapat adalah kurang wajar berbuat demikian. Justeru, saya bersidang hari ini bagi memaklumkan perkara tersebut kepada semua pihak. Kami menetapkan keputusan disampaikan pada 13 Julai,” katanya.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk S Ambiga dan Lim Wei Jeit.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Ketika ditemui selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata penangguhan keputusan biasa berlaku dan semua pihak perlu bersabar selain pihak pendakwaan mendoakan Hakim Che Ruzima segera sembuh.

Sementara itu, Hisyam menyifatkan penangguhan prosiding hari ini adalah perkara yang tidak pernah berlaku sepanjang pengalamannya mengendalikan kes.

“Ini merupakan kali pertama perkara seumpama ini berlaku, baik dalam amalan mahkamah mahupun sepanjang pengalaman kami,” katanya semasa ditanya pemberita mengenai pengalaman sedemikian sepanjang kariernya.

Syed Saddiq pula berkata beliau menghormati keputusan mahkamah untuk menangguhkan keputusan kerana isu kesihatan sesuatu yang tidak dijangka.

“Saya menghormati keputusan Yang Arif Hakim dan hormati institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi individu seperti saya untuk mendapat keadilan bukan melalui jalan pintas atau layanan istimewa tetapi melaui perbicaraan berdasarkan fakta dan data di bawah Institusi Kehakiman.

“Kes ini bukan baharu, sudah enam tahun saya berentap untuk mendapatkan keadilan. Fokus saya bersama keluarga dan peguam adalah untuk membersihkan nama saya, integriti saya dan maruah, kalau perlu tunggu lagi dua minggu saya akur dan patuh,” katanya.

Terdahulu, pengamal media dan penyokong Syed Saddiq mula memenuhi Istana Kehakiman pada 7.30 pagi bagi mendengar keputusan berkenaan.

Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman di sini, pada 8.50 pagi dengan diiringi ibu dan bapanya iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta tunangnya yang juga aktres Bella Astillah.- Bernama

Continue Reading

Previous: Padah rogol kanak-kanak, lelaki dipenjara 30 tahun, 18 sebatan
Next: Kes dana Armada: Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman bagi keputusan kekal bebas atau penjara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.