
SIBU: Kerjasama erat antara penduduk, pemimpin masyarakat, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan Sarawak menjadi pemangkin kejayaan pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), termasuk menyelesaikan masalah kekurangan kawasan parkir di Rumah Thomas Palus, Ulu Sebedil.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, projek pembesaran jalan di rumah panjang itu membuktikan bahawa semangat kerjasama semua pihak mampu menyelesaikan isu yang telah lama dihadapi penduduk.
Menurutnya, setiap projek RTP bermula daripada keperluan yang disuarakan oleh masyarakat sebelum dibawa oleh ketua masyarakat dan ahli majlis kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
“Setiap pihak mempunyai peranan masing-masing. Penduduk menyuarakan keperluan, ketua masyarakat dan ahli majlis membawa cadangan, manakala kerajaan menyediakan peruntukan. Hasil kerjasama inilah yang membolehkan projek RTP dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada seluruh komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Pembesaran Jalan sempena sambutan Ngiling Tikai di Rumah Thomas Palus, Ulu Sebedil, di sini, semalam.
Lau berkata, RTP merupakan inisiatif kerajaan Sarawak bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat menerusi pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang berdasarkan keperluan sebenar di kawasan masing-masing.
Katanya, cadangan projek pembesaran jalan tersebut bermula daripada permintaan penduduk sebelum dikemukakan melalui ahli majlis dan pihak parti kepada Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, seterusnya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mendapatkan kelulusan di bawah RTP.
Beliau berkata, peruntukan RTP itu digunakan untuk membina kemudahan yang boleh dinikmati bersama oleh seluruh penghuni rumah panjang, termasuk penyediaan kawasan parkir yang lebih luas dan selesa.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat agar terus memelihara semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan yang menjadi identiti masyarakat Iban kerana ia merupakan asas kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menurutnya, sambutan Ngiling Tikai bukan sahaja menandakan berakhirnya musim Gawai, malah menjadi lambang perpaduan yang wajar terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda.
Tambah beliau, kestabilan dan perpaduan rakyat akan memperkukuhkan usaha kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus membolehkan lebih banyak hasil negeri disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai projek pembangunan dan program kebajikan.
Turut hadir, Kaunselor Johnny Sain yang mewakili Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan Romeo Christopher Tegong, Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Ng Siang Wei, Tuai Rumah Thomas Palus serta tetamu jemputan lain.
Oleh Tarani Lanting