Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia bakal berwajah baharu sempena ulang tahun ke-30
  • HIBURAN

Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia bakal berwajah baharu sempena ulang tahun ke-30

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika ditemui pemberita selepas malam penutup RWMF 2026 di Kampung Budaya Sarawak (SCV), di Santubong malam tadi. Foto Nadya Victoria 

SANTUBONG: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dijangka memasuki fasa baharu sempena ulang tahun ke-30 tahun depan dengan pelbagai naik taraf infrastruktur dan pengalaman pengunjung yang dirancang bagi memperkukuh kedudukannya sebagai festival muzik dunia terkemuka di rantau ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri pada dasarnya telah memberi kelulusan bagi beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan, termasuk pembinaan pentas baharu, kawasan tontonan yang lebih selesa serta ruang persiapan artis yang lebih teratur.

Menurutnya, perubahan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti penganjuran festival, selaras dengan sambutan ulang tahun ke-30 yang disifatkannya sebagai satu pencapaian penting buat Sarawak.

“Kita mahu edisi ke-30 ini menjadi sesuatu yang signifikan. Pentas akan berubah, kawasan penonton akan lebih selesa dan tempat persiapan artis juga akan menjadi lebih teratur.

“Kita juga akan memilih kumpulan muzik yang benar-benar menarik, sama ada dari Sarawak, dalam negara mahupun luar negara supaya sambutannya lebih hebat berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas malam penutup RWMF 2026 di Kampung Budaya Sarawak (SCV), di sini, malam tadi.

Abdul Karim berkata, kejayaan festival itu memasuki edisi ke-30 merupakan satu pencapaian besar bukan sahaja kepada Sarawak, malah kepada kementeriannya dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang selama ini menerajui penganjurannya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata RWMF 2026 hanya merekodkan penurunan kehadiran sekitar dua peratus berbanding tahun lalu walaupun berdepan kenaikan harga tiket penerbangan susulan ketidaktentuan global dan konflik di Asia Barat.

“Festival tahun ini menarik sekitar 21,000 hingga 22,000 pengunjung berbanding kira-kira 23,000 pada tahun lalu, sekali gus membuktikan sambutan terhadap festival itu kekal kukuh,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui projek menaik taraf jalan Kuching-Damai kepada jalan berkembar yang dijangka bermula tahun hadapan berpotensi menjadi antara cabaran logistik bagi penganjuran RWMF edisi akan datang, khususnya dari segi kelancaran aliran trafik pengunjung ke lokasi festival.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: “Saya mahu mengembara ke seluruh dunia” — impian kecil yang membentuk Bluey Incognito

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.