KUCHING: Musim ikan terubok dan ambal kini kembali di Asajaya sekaligus menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan makanan laut yang segar.
Tinjauan Utusan Sarawak ke Asajaya semalam mendapati kebanyakan pengunjung yang datang ke Asajaya untuk mendapatkan ikan terubok dan ambal yang segar.
Malah ada peniaga yang tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli hasil laut berkenaan.
Seorang peniaga ikan terubok di Pekan Asajaya Aziz Idris ketikaditemui semalam berkata, musimikan terubok baharu sahaja bermula awal bulan ini dan permintaanya dari pelanggan amat menggalakkan.
“Musim terubok bermula sejak beberapa hari lalu dan ia mendapat sambutan yang hangat daripada pelanggan bukan sahaja di kawasan Asajaya malah ada juga pelanggan kami yang datang dari Kuching, Sibu dan Miri yang membeli ikan terubok segar di sini.
“Untuk hari ini (semalam) sahaja lebih 200 kilogram ikan terubok berjaya dijual, kalau bukan musim ikan terubok hasil jualan tidak sebanyak ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Aziz berkata, pemborong ikan terubok berebut untuk mendapatkan bekalan ikan terubok yang segar berkenaan untuk dijual di Kuching.
Menurutnya, ikan terubok dijual pada harga RM20 hingga RM30 sekilogram Sementara itu, peniaga ambal yang dikenali sebagai Mohd Shamir berkata, ramai pelanggan yang datang ke gerainya untuk membeli ambal.
“Kebanyakan pelanggan yang datang membeli ambal di sini adalah penggemar makanan ambal tersebut bukan itu sahaja ambal ini susah dicari di tempat lain.
“Memandangkan sekarang musim ambal ramai yang datang membeli di sini, malah kami peniaga di sini tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya.
Kebiasannya, pengunjung mengunjungi tempat berkenaan pada Sabtu dan Ahad untuk mendapatkan hasil laut yang segar.
Katanya, musim ambal ini pada pertengahan tahun dalam bulan April hingga Mei dan pada hujung tahun.
“Saya harap agar lebih ramai pengunjung datang ke kawasan luar bandar di Asajaya ini sebab hasil laut yang dijual di sini sentiasa segar dan kebanyakan dijual dengan harga berpatutan,”katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO