Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Eksklusif: Bengkel tarian tradisional jadi tarikan utama pengunjung RWMF 2026
  • HIBURAN

Eksklusif: Bengkel tarian tradisional jadi tarikan utama pengunjung RWMF 2026

Utusan Sarawak 7 hours ago
TENAGA pengajar Selendang Tari, Sherlynna Parveen ketika mengendalikan sesi bengkel tarian tradisional kepada peserta sempena Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 di Kampung Budaya Sarawak (SCV) hari ini. Foto Adele Rissa

SANTUBONG: Bengkel tarian tradisional anjuran Selendang Tari dengan kerjasama Bungan Kreatif menjadi antara tarikan yang semakin mendapat perhatian pengunjung Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026, apabila ramai peserta tempatan dan antarabangsa menunjukkan minat untuk mendalami seni budaya Sarawak.

Tenaga pengajarnya, Sherlynna Parveen berkata, bengkel tersebut dijalankan sepanjang tiga hari festival berlangsung dengan tiga sesi harian bermula 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Kami menyediakan tiga sesi setiap hari, iaitu sesi pertama dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, sesi kedua dari 2.00 petang hingga 3.30 petang, dan sesi ketiga dari 3.30 petang hingga 5 petang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Kampung Budaya Sarawak (SCV) hari ini. 

Menurutnya, setiap sesi memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari pelbagai tarian tradisional Sarawak yang berbeza mengikut jadual harian yang telah ditetapkan.

“Setiap hari kami memperkenalkan tiga tarian berbeza. Sebagai contoh hari ini, pada sebelah pagi peserta mempelajari tarian Iban, diikuti tarian Orang Ulu, dan seterusnya tarian Melanau,” jelasnya.

PENGUNJUNG tempatan mencuba tarian tradisional Sarawak dalam bengkel interaktif yang menjadi antara tarikan utama RWMF 2026. Foto Adele Rissa 

Kongsinya, sambutan yang diterima pada hari kedua festival menunjukkan peningkatan ketara berbanding hari pertama, dengan penyertaan yang semakin menggalakkan daripada pelbagai latar belakang pengunjung.

“Ramai pengunjung termasuk pelancong luar negara menunjukkan minat bukan sahaja untuk belajar tarian, tetapi juga untuk mencuba pakaian tradisional yang disediakan,” katanya.

Menurut Sherlynna, antara tarian yang diperkenalkan dalam bengkel tersebut termasuk Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau serta Wek Jongan Salako, yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

Beliau turut mendedahkan terdapat peserta yang kembali semula pada hari berikutnya untuk mencuba lebih banyak jenis tarian, sekali gus menunjukkan sambutan yang sangat menggalakkan terhadap program tersebut.

“Ada peserta yang datang semula untuk menyertai lebih daripada satu sesi, malah ada yang mengikuti sehingga tiga sesi berbeza. Ini sangat menggalakkan,” katanya.

Tambahnya, perkembangan itu membuktikan seni tarian tradisional masih mempunyai daya tarikan kuat dalam kalangan generasi muda dan pelancong luar yang hadir ke RWMF.

Mengulas harapan masa depan, Sherlynna berharap bengkel seumpama itu dapat diteruskan pada edisi akan datang dengan penyertaan yang lebih meluas.

“Jika diberi peluang pada tahun depan, saya berharap lebih ramai akan datang untuk belajar budaya, tradisi dan warisan kita supaya ia terus dikenali dan dihargai,” katanya.

RWMF 2026 terus menjadi platform penting dalam memperkenalkan kepelbagaian budaya Sarawak kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa melalui muzik, tarian dan pengalaman budaya secara langsung.

Oleh Adele Rissa

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: RWMF 2026: ‘Generasi baharu cipta identiti muzik sendiri’– Thomas McClary

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.