SIBU: Sesi persekolahan bagi sekolah rendah dan menengah di Sibu yang bermula hari ini menggunakan kaedah penggiliran.
Menurut Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Dr.Annuar Rapa’ee, kaedah tersebut bertujuan mengurangkan jumlah pelajar yang hadir di sekolah pada satu-satu masa.
Katanya, ia juga bagi menjaga kesihatan dan keselamatan pelajar tanpa mengabaikan pelajaran mereka.
“Kita telah bermesyuarat selama tiga hari dan mesyuarat terakhir semalam.
Prinsip kita hendak mengurangkan pelajar di sekolah pada satu-satu masa.
“Dua minggu lepas atau sebelum cuti sekolah, semua pelajar sekolah rendah turun ke sekolah,” jelasnya menerusi siaran langsung mengenai cadangan pembukaan semula sekolah di Daerah Sibu, petang semalam.
Bagi sekolah rendah, Isnin, Rabu dan Jumaat melibatkan murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 turun ke sekolah, sementara Selasa dan Khamis untuk murid-murid pra sekolah, Tahun 1, 2 dan 3.
Sementara bagi sekolah menengah, pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 akan mengikuti sesi persekolah secara bersemuka setiap hari.
Bagi kelas peralihan dan Tingkatan 3, akan hadir ke sekolah pada minggu pertama dan ketiga dan Tingkatan 1 dan 2 pada minggu kedua dan keempat.
Dr. Annuar yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam berkata, jika pelajar tidak perlu turun ke sekolah pada hari atau minggu tersebut, mereka akan menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Dengan kaedah ini, sekurang-kurangnya mereka dapat bersemuka dengan guru dua atau tiga hari dalam seminggu.
Kaedah ini akan dikaji semula empat minggu kemudian bergantung kepada jumlah kes Covid-19 di Daerah Sibu,” ujarnya.
Menteri Muda Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata,guru kelas juga akan membuat kumpulan whatsapp bagi bertanya mengenai keadaan pelajar sama ada mereka mempunyai kontak rapat atau ada ahli keluarga yang positif Covid-19 pada hari tersebut.
“Guru kelas akan hantar mesej untuk pastikan sesiapa yang ada demam, dinasihati agar tidak turun ke sekolah pada hari berikutnya,” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai pelajar SPM yang tidak menduduki peperiksaan sebelum ini akibat Covid-19, Dr. Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi berkata,mereka akan menduduki peperiksaan penjadualan semula bermula 6 hingga 23 April ini.
“Seramai 223 pelajar di bandar Sibu terlibat. Ini peluang terakhir untuk pelajar-pelajar SPM.
Jika mereka tidak menduduki peperiksaan ini, mereka tidak akan dapat keputusan dan terpaksa menduduki peperiksaan tahun hadapan.
“Sekiranya calon-calon yang terpaksa menduduk ini positif Covid-19, kita akan menyedikan tempat di hospital. Jika mereka hanya dikuarantin, kita juga akan menyediakan tempat di pusat kuarntin untuk mereka menduduki ujian,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Oleh AKUN GIMAN