KUCHING: Kerajaan Sarawak dituntut agar lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah rumah-rumah rosak dan retak di kawasan Kampung Tunku akibat projek pembentungan di bawah Pakej 2-The Kuching Centralised Wastewater Management System for Kuching City Centre yang telah berlarutan memasuki tahun kelima semenjak 2017.
Salah seorang penduduk, Jais Sahok ,62, berkata rumah beliau dan hampir 300 rumah lain telah mengalami kerosakan dan keretakan yang dahsyat akibat tanah mendap yang berlaku selepas kerja-kerja penggerudian saliran pembentungan bermula beberapa tahun lepas.
Menurut beliau, jumlah pampasan yang dicadangkan oleh pihak kontraktor bertanggungjawab iaitu Kumpulan Nishimatsu-Hock Seng Lee Consortium adalah terlalu rendah berbanding dengan jumlah kerosakan yang berlaku
“Kerja-kerja baik pulih juga kebanyakkannya hanya berbentuk “touch up” dan bukannya membaiki sehingga pulih kepada keadaan asal,”jelasnya.
“Perkembangan ini amat membimbangkan kerana rundingan lepas rundingan dibuat antara kedua-dua pihak tanpa mendatangkan hasil,”katanya.
Sementara itu, Norlia Hassan ,49, berkata, beliau khuatir dan risau nyawa mereka dan ahli keluarga terancam disebabkan struktur-struktur rumah mereka yang telah terjejas teruk.
“Saya telah menetap di sini sejak 1983 lagi, dan sebelum ini tiada berlaku kerosakan dan keretakan rumah. Namun, sejak projek ini dijalankan, rumah saya mengalami keretakan dan kerosakan yang teruk,” maklumnya.
Selain itu, beliau berasa hampa kerana beberapa kali menerima kunjungan dan pemeriksaan daripada Jabatan Pembentungan, kontraktor terbabit, wakil rakyat, pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan badan bertindak (taskforce) serta beberapa pihak lain namun tiada sebarang perkembangan positif.
Tambahnya lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) terlibat dalam isu ini telah memeriksa sejumlah besar rumah-rumah penduduk kampung yang terjejas, namun laporan rasmi masih belum dikemukakan kepada penduduk.
Dalam pada itu, Nasir Sahok ,63, turut memberitahu rumah beliau sebelum ini mengalami kerosakan dan keretakan rumah yang dahsyat disebabkan projek pembentungan tersebut telah dibaik pulih hanya menggunakan duit sendiri.
“Saya pada mulanya menyangka rumah saya retak disebabkan faktor lain, justeru saya menggunakan duit saya sendiri untuk membaik pulih rumah tersebut,” tegasnya.
“Rupa-rupanya ia rosak disebabkan projek pembentungan yang dijalankan berikutan terdapat jiran tertangganya mengadu masalah yang sama kepadanya,”ujarnya.
“Namun, apa yang lebih menyedihkan adalah rumahnya kembali mengalami kerosakan dan keretakan hanya dalam tempoh setahun dari tarikh ia diperbaiki berikutan daripada kesan projek pembentungan yang dijalankan,” katanya.
Bukan itu sahaja, semakan wartawan pada status akaun Facebook Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tunku juga terbukti mengesahkan kerisauan penduduk adalah benar dan kerosakan adalah disebabkan projek tersebut.
Oleh demikian, penduduk-penduduk amat mengharapkan tindakan karajaan ke atas kontraktor terlibat untuk mempertahankan hak-hak penduduk.
“Kami bukan orang senang. Malah rumah ini pun dibeli dengan titik peluh dan ‘jerih payah’ orang tua kami berpuluh tahun,”rayu penduduk di sini, semalam.
“Kami berharap agar perkara ini dapat diselesaikan sebaik-baiknya dan pihak kontraktor serta lain-lain yang terlibat agar ambil tahu serta ada rasa tanggungjawab kerana isu ini melibatkan nyawa, keselamatan dan harta-benda. Bukan setakat bersikap melepaskan batuk di tangga dan saling menyalahkan sekiranya terjadi malapetaka kelak,” ujar mereka lagi.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ