Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Cabaran Basikal Samarahan 2026 cecah sedekad, terus lahirkan pelumba berpotensi
  • TEMPATAN

Cabaran Basikal Samarahan 2026 cecah sedekad, terus lahirkan pelumba berpotensi

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) bersama wakil penganjur dan Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) pada sidang media Cabaran Basikal Samarahan 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini. Foto Adele Rissa

PETRA JAYA: Penganjuran Cabaran Basikal Samarahan yang memasuki edisi ke-10 tahun ini membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa pembangunan sukan berbasikal serta mencungkil bakat baharu di Sarawak.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemampuan acara itu untuk bertahan selama sedekad merupakan satu pencapaian besar memandangkan tidak banyak acara sukan mampu mengekalkan momentum dalam tempoh yang panjang.

Menurutnya, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan acara berkenaan terus relevan dan mendapat sambutan komuniti berbasikal.

“Apabila sesuatu acara dapat bertahan sehingga 10 tahun, ia menunjukkan bahawa penganjur, persatuan dan semua pihak yang terlibat berjaya memastikan acara tersebut terus hidup dan mendapat sokongan daripada masyarakat,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media Cabaran Basikal Samarahan 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini.

Acara yang akan berlangsung pada Ahad ini di hadapan Pusat Beli-Belah Summer, Samarahan itu mendapat sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan serta disenaraikan dalam Kalendar Acara Sarawak 2026 dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA).

PRESIDEN Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA), Irawan Sudarsono pada sidang media Cabaran Basikal Samarahan 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini. Foto Adele Rissa 

Abdul Karim berkata, perlumbaan berkonsepkan kriterium itu menjadi antara acara yang dinantikan komuniti berbasikal kerana menawarkan cabaran berbeza berbanding perlumbaan jarak jauh atau basikal lasak.

“Setakat ini seramai 153 peserta telah mendaftar termasuk penyertaan dari Indonesia, Kanada dan New Zealand,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan sukan berbasikal di Sarawak kini menunjukkan peningkatan ketara dengan atlet negeri semakin menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Ini menunjukkan usaha pembangunan atlet serta kemudahan sukan di Sarawak mula membuahkan hasil,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa atlet berbasikal Sarawak akan terus menjadi antara pelapis utama skuad kebangsaan pada masa hadapan.

Cabaran Basikal Samarahan 2026 menawarkan lapan kategori perlumbaan dengan jumlah hadiah keseluruhan RM27,575, manakala pendaftaran masih dibuka sehingga esok (27 Jun).

Cabaran Basikal Samarahan 2026 menawarkan lapan kategori perlumbaan iaitu Terbuka Lelaki (16 tahun ke atas), Terbuka Sarawak (16 tahun ke atas), Master A (34 hingga 44 tahun), Master B (45 tahun ke atas), Junior (16 hingga 20 tahun), Lelaki Bawah 15 Tahun, Wanita Bawah 15 Tahun dan Terbuka Wanita (16 tahun ke atas).

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA), Irawan Sudarsono berkata persiapan atlet negeri bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) kini berada pada fasa kritikal dengan sesi latihan pusat akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, antara cabaran utama ketika ini ialah akses kepada kemudahan velodrom untuk latihan apabila kebanyakan negeri dan skuad kebangsaan turut menggunakan fasiliti Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan secara maksimum bagi persiapan kejohanan termasuk Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Keadaan ini menyebabkan ruang latihan sangat terhad kerana semua pasukan bersaing untuk mendapatkan slot penggunaan velodrom,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan pasukan berbasikal Sarawak ke Sukma akan datang susulan pencapaian cemerlang atlet negeri pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan baru-baru ini.

Irawan berkata, kem latihan pusat dijangka bermula menjelang bulan terakhir sebelum Sukma dengan atlet berlepas ke Semenanjung Malaysia bagi melengkapkan fasa akhir persiapan.

Mengulas sasaran pingat, beliau mengakui saingan kali ini dijangka lebih mencabar memandangkan majoriti pelumba Sarawak masih berada dalam kelompok usia muda dan bakal berdepan atlet yang lebih berpengalaman.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: PAC Sarawak tinjau kemajuan projek jalan akses Empangan Hidro Baleh
Next: SUPP: Had subsidi diesel 200 liter tidak sesuai dengan realiti Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.