
KUALA LUMPUR: Jepun bersedia untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama Malaysia dalam memperkukuh kerjasama keselamatan di tengah-tengah persekitaran keselamatan global yang semakin kompleks, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata.
Beliau berkata Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan semula iltizam bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan pertahanan dan keselamatan sebagai teras utama semasa lawatan Anwar ke Jepun awal bulan ini.
Shikata berkata kedua-dua pemimpin turut bersetuju memperkukuh sinergi antara visi Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) Jepun dengan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), sekali gus menggerakkan rantau ini ke arah kestabilan yang lebih kukuh serta kemakmuran bersama.
“Keutamaan dalam visi ini ialah mempertingkatkan kerjasama keselamatan dan Jepun bersedia untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Resepsi Hari Pasukan Pertahanan Diri Jepun ke-72 di sini semalam.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Duta itu berkata Jepun dan Malaysia telah meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2023, manakala lawatan Anwar ke Jepun baru-baru ini menekankan momentum berterusan dalam hubungan dua hala.
“Menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun depan, saya komited untuk membawa kerjasama kita ke tahap yang lebih tinggi dalam semua bidang, termasuk pertahanan dan keselamatan,” katanya.
Shikata berkata Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara berkala mengadakan latihan dua hala MALPAN di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Beliau berkata pada April lalu, MALPAN turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sekali gus memperkukuh kerjasama dalam domain maritim dan udara.
“Ini merupakan langkah praktikal yang membina kepercayaan, meningkatkan kebolehoperasian serta memastikan laluan perkapalan kita kekal selamat,” katanya sambil menambah Jepun bekerjasama rapat dengan rakan kongsi yang sehaluan, termasuk Malaysia bagi menyokong usaha meredakan ketegangan, menegakkan undang-undang antarabangsa serta memastikan perairan kekal terbuka dan selamat.
Beliau berkata Jepun turut memperluas kerjasama menerusi Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) yang diperkenalkan pada 2023, dengan Malaysia antara penerima terawal inisiatif itu.
“Tahun lalu, kami menyediakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan bot penyelamat. Di bawah OSA 2025, Jepun telah membekalkan peralatan pemantauan gencatan senjata kepada Pasukan Pemerhati ASEAN serta akan menyediakan sebuah kapal sokongan penyelaman kepada TLDM.
“Ini merupakan sumbangan nyata kepada kestabilan serantau dan peranan kepimpinan penting Malaysia,” katanya.
Mengenai kerjasama industri pertahanan, Shikata berkata 10 syarikat Jepun menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 di Kuala Lumpur dengan mempamerkan teknologi dan peralatan canggih.
Beliau berkata Jepun dan Malaysia turut menandatangani Terma Rujukan (ToR) semasa pameran itu bagi melancarkan dialog industri pertahanan dua hala. – Bernama