

DEBAK: Seekor anjing liar berjaya diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas didapati tersangkut pada jaring di sebuah gelanggang futsal dalam kejadian di Debak, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, pihaknyak menerima panggilan daripada orang awam pada 9.40 pagi sebelum sepasukan empat anggota Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menurut beliau, pasukan terbabit tiba di lokasi pada 9.48 pagi selepas bergerak sejauh kira-kira 300 meter dari PKOD) Debak dengan membawa peralatan yang diperlukan untuk menyelamatkan haiwan tersebut.
Beliau berkata, pengadu, Asri Helmie, memaklumkan seekor anjing liar telah tersangkut pada jaring bola di dalam gelanggang futsal dan meminta bantuan APM bagi melepaskan haiwan itu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati anjing berkenaan masih tersangkut pada jaring dan operasi menyelamat segera dilaksanakan menggunakan penjerut, sarung tangan keselamatan serta peralatan lain yang bersesuaian.
“Tiga anggota APM bertindak melepaskan anjing tersebut dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan kepada haiwan itu serta memastikan keselamatan anggota yang terlibat sepanjang operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi menyelamat berjaya diselesaikan dalam tempoh beberapa minit sebelum anjing berkenaan dilepaskan dengan selamat. Operasi tamat pada 9.58 pagi.
Kapten Mohammad Noor berkata, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dan APM sentiasa bersedia memberikan bantuan kecemasan termasuk melibatkan penyelamatan haiwan demi memastikan keselamatan awam serta kebajikan haiwan terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman