
MIRI: Program latihan kemahiran dan pendedahan industri kepada penghuni penjara menerusi MyPRIDE Fair disifatkan sebagai inisiatif penting dalam mempersiapkan mereka untuk kembali menjalani kehidupan normal serta berdikari selepas dibebaskan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Ripin Lamat, berkata penganjuran program itu bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan produk dan perkhidmatan hasil kemahiran penghuni penjara, malah membuktikan komitmen Jabatan Penjara dalam melaksanakan program pemulihan berasaskan pembangunan ekonomi.
Beliau berkata setiap institusi penjara di Sarawak mempunyai produk tersendiri yang dihasilkan oleh penghuni menerusi pelbagai latihan kemahiran sebagai persediaan untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Program ini amat bermakna kerana memperkenalkan produk dan perkhidmatan hasil kemahiran penghuni penjara. Ia merupakan inisiatif yang dilaksanakan di seluruh penjara di Sarawak bagi melatih mereka sebagai persediaan untuk kembali bersama masyarakat,” katanya.


Ripin berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran MyPRIDE Peringkat Zon Sarawak Tahun 2026 di sini hari ini.
Menurut Ripin, proses mengembalikan bekas penghuni penjara ke dalam masyarakat bukan tugas yang mudah dan memerlukan kerjasama serta sokongan semua pihak.
“Apabila mereka selesai menjalani hukuman, mereka perlu kembali kepada masyarakat. Mereka perlu dipersiapkan dan masyarakat juga perlu memberi sokongan supaya mereka dapat membina kehidupan baharu,” katanya.
Beliau turut menyifatkan program latihan kemahiran TVET dan pendedahan kepada industri sebagai langkah yang sangat bermanfaat kerana memberi peluang kepada penghuni penjara memperoleh kemahiran serta pilihan kerjaya selepas dibebaskan.
“Program ini memberi nilai tambah kepada penghuni institusi penjara supaya mereka mampu meneruskan kehidupan dan mempunyai pilihan untuk menjana pendapatan selepas keluar dari penjara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia atas komitmen berterusan melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan dan pembangunan insan yang memberi impak besar kepada penghuni serta bekas penghuni penjara.
Beliau berharap penganjuran Pameran MyPRIDE akan terus diperkasakan dan diperluaskan bagi membuka lebih banyak peluang pemasaran, jaringan perniagaan serta pembangunan keusahawanan kepada golongan berkenaan.
Oleh Liong Chai Ling