
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum meningkat dengan dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, disokong oleh sentimen pelabur yang lebih baik selepas data menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1340/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1355/1400 semasa ditutup semalam.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bahawa FDI di Malaysia pada 2025 melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya, disokong oleh suntikan ekuiti daripada pelabur asing dan aliran masuk dalam instrumen hutang.
“Ia mencerminkan keyakinan berterusan dalam kalangan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia, kedudukan FDI terkumpul meningkat kepada RM1.087 trilion pada akhir 2025, merangkumi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 51.4 peratus pada 2024,” menurut DOSM.
Dari aspek makroekonomi yang lebih luas, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah terus menurun berikutan pembukaan semula Selat Hormuz menjadi semakin nyata.
“Permintaan terhadap kapal tangki meningkat, dengan kadar sewaan bagi kapal tangki minyak mentah bersaiz sangat besar (VLCC) di rantau Teluk meningkat dengan ketara.
“Sehubungan itu, hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun, masing-masing menyusut lima dan 10 mata asas kepada 4.15 peratus dan 4.39 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, katanya Indeks Dolar AS (DXY) terus disokong kukuh pada paras 101.577 mata apabila peniaga dan pelabur menunggu laporan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dijadualkan dikeluarkan malam ini.
Beliau berkata unjuran konsensus menunjukkan kadar inflasi dijangka mencecah 4.0 peratus.
Mohd Afzanizam berkata pasaran semakin yakin bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan melaksanakan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat pada September.
“Ini dilihat memberi sokongan kukuh kepada dolar AS. Dagangan dijangka kekal berhati-hati menjelang laporan inflasi PCE dikeluarkan malam ini,” katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.4408/4487 daripada 5.4481/4540 semasa ditutup pada Rabu dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.5553/5592 daripada 2.5567/5595 sebelum ini.
Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding euro kepada 4.6929/6997 daripada 4.6921/6972 semalam.
Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1859/1908 daripada 3.1848/1885 semasa ditutup pada Rabu dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.3680/3919 daripada 12.3658/3845 sebelum ini.
Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 230.2/230.7 daripada 230.3/230.7 semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.73. – Bernama