
CARACAS, Venezuela: Dua gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda kawasan yang sama di Venezuela pada petang Rabu, menyebabkan beberapa bangunan runtuh serta mencetuskan panik dalam kalangan penduduk, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan wartawan AFP.
Gegaran itu menyebabkan penduduk di ibu negara, Caracas, bergegas keluar ke jalan raya untuk menyelamatkan diri.
Setakat ini, jumlah korban masih belum dapat dipastikan, namun beberapa bangunan dilaporkan runtuh dan bumbung kediaman mengalami kerosakan, kata Menteri Dalam Negeri Venezuela, Diosdado Cabello.
“Tangga tercabut, keseluruhan dinding retak. Barang-barang jatuh dari siling. Keadaannya amat mengerikan,” kata pekerja bank berusia 54 tahun, Odalis Escalona, di Caracas.
Seorang wartawan AFP menyaksikan sebuah bangunan setinggi 22 tingkat musnah sepenuhnya di kawasan Altamira, Caracas.

Orang ramai yang berada di luar bangunan berkenaan kedengaran memanggil nama ahli keluarga masing-masing ketika sukarelawan memanjat timbunan runtuhan untuk mencari mangsa.
“Kami memerlukan lampu suluh,” kata seorang sukarelawan.
Menurut USGS, gempa pertama yang berpusat kira-kira 21 kilometer di barat bandar pesisir Moron berlaku pada pukul 10.04 malam waktu Greenwich (GMT).
Kurang seminit kemudian, gempa kedua bermagnitud 7.5 melanda kawasan kira-kira 45 kilometer dari lokasi gempa pertama.
“Gempa bumi ini merupakan kejadian kedua dalam siri gegaran berkembar. Gegaran utama bermagnitud 7.5 didahului oleh gegaran awal bermagnitud 7.2 kira-kira 39 saat sebelumnya,” menurut USGS.
Cabello menggesa penduduk supaya meninggalkan kediaman masing-masing sambil memaklumkan bahawa bekalan gas ke beberapa bangunan telah diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami mempunyai beberapa struktur yang rosak dan tidak mahu berlaku sebarang kemalangan yang melibatkan gas,” katanya.

Gempa kedua yang berlaku pada kedalaman 10 kilometer mencetuskan jeritan panik di sebuah pusat beli-belah di Caracas, menurut pemerhatian wartawan AFP. Pusat gempa pertama pula berada pada kedalaman 22 kilometer.
“Ia sukar dipercayai. Saya sendiri tidak tahu berapa lama ia berlangsung,” kata peniaga berusia 42 tahun, Heidi Romero, yang berada di tingkat paling atas pusat beli-belah tersebut ketika gempa melanda.
“Kami keluar menggunakan tangga kecemasan. Itulah cara kami dipindahkan,” katanya kepada AFP.
Puluhan lagi penduduk di Caracas turut keluar dari bangunan dan menunggu di kawasan terbuka sebelum kembali ke pejabat serta kediaman masing-masing.
Carmen Guedez, 69, berkata beliau berada bersama kakaknya yang terlantar sakit ketika gegaran berlaku.
“Gegaran itu semakin kuat,” kata pentadbir yang tinggal di kawasan berbukit di pinggir Caracas.
“Saya melihat tingkap mula bergegar dan kemudian seluruh rumah turut bergegar.”
Beliau berkata, beliau berlindung bersama kakaknya dan seorang jiran kerana tidak sempat keluar dari rumah.
“Kami hanya berkumpul rapat. Kami tidak dapat keluar. Jiran-jiran masih berada di jalan raya,” katanya.
Gegaran itu turut dirasai hingga ke Bogotá, ibu negara Colombia, apabila siren amaran dibunyikan dan sebahagian penduduk mengosongkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.
Penyelaras Rangkaian Seismologi Kebangsaan Colombia, Freddy Tovar, berkata pihaknya menerima lebih 200 laporan mengenai gegaran di seluruh negara.
“Keadaan kejadian seismik ini menunjukkan kemungkinan berlakunya gegaran susulan yang turut boleh dirasai secara meluas di seluruh wilayah Colombia,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform X.
Agensi Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Colombia (UNGRD) bagaimanapun menolak kemungkinan berlakunya tsunami susulan gempa bumi tersebut.
Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan Amerika Syarikat turut mengesahkan bahawa tiada ancaman tsunami atau bahaya lain susulan kejadian gempa bumi berkenaan. – AFP