KETAM nipah merupakan antara jenis ketam yang banyak dijual di pasaran tempatan.
Setiap pagi Sabtu dan Ahad, ketam nipah banyak dijual berhampiran Pusat Penjaja Nyelong.
Malah, kini telah ada kedai disini yang dikhaskan untuk menjual ketam nipah.
Penulis bangun seawal jam 6.30 pagi pada Sabtu untuk bersiap sedia ke pasar membeli ketam nipah.
Setibanya di kawasan Pusat Penjaja Nyelong, penulis mencari penjaja-penjaja di tepian jalan yang menjual ketam nipah.
Terdapat ketam nipah yang kecil dijual dalam lingkungan RM30 sekilogram dan ketam nipah saiz besar dijual dengan harga RM55 sekilogram.
Tidak lama selepas itu, penulis bertemu dengan seorang penjaja ketam nipah yang menawarkan harga yang lebih murah berbanding penjaja-penjaja lain.
Ngieng, berumur lingkungan 50 tahun menjual ketam bersaiz sederhana berharga RM35 sekilogram dan ketam nipah bersaiz agak besar berharga RM40 sekilogram.
Menurut Ngieng, dia memborong ketam nipah dari nelayan-nelayan tempatan.
Tanpa membuang masa, penulis membeli ketam nipah bersaiz agak besar dari Ngieng dan berharga RM80 untuk 2 kilogram.
Penulis meminta Ngieng menimbang ketam nipah betina lebih banyak berbanding ketam nipah jantan.
Ketam nipah betina selalunya bertelur dan telurnya memang sedap dimakan.
Beza antara ketam nipah betina dan ketam nipah jantan adalah kepak perut ketam betina adalah lebih luas berbanding ketam nipah jantan.
Selain itu, kepak perut ketam betina berjalur kehitaman dan kepak perut ketam jantan bewarna putih.
Oleh kerana bahan-bahan untuk memasak ketam nipah sudah sedia ada di rumah, penulis segera balik ke rumah untuk memasak ketam nipah.
Selalunya, penulis lebih gemar untuk memasak ketam nipah dengan cara masakan orang tua dulu-dulu dengan hanya merebusnya hingga masak dan dicampur ajinomoto, garam dan halia serta bawang putih.
Rasa kuah dan isinya lebih manis, lebih-lebih lagi ketam nipah yang dibeli adalah masih baru dijual dipasar.
Kali ini, penulis ingin memasak ketam nipah yang selalunya dimasak di kedai-kedai makan atau restoran iaitu Ketam Masak Sos.
Bahan-bahan untuk memasaknya agak ringkas dan mudah didapatkan dipasaran.
Antaranya ialah telur ayam, sos tiram, sos cili, cili sayur jenis pedas, bawang putih dan halia.
Langkah pertama, masukkan dua sudu kecil minyak masak dalam kuali yang telah dipanaskan.
Penggunaan minyak masak yang sedikit adalah bagi mengelakkan masakan terlampau berminyak selepas dimasak.
Selepas minyak masak mendidih, kecilkan api dan masukkan tiga ulas bawang putih yang telah ditumbuk, lima ulas cili sayur jenis pedas yang telah dikisar, seulas halia yang telah ditumbuk ke dalam kuali.
Tumis sehingga naik bau. Kemudian masukkan dua biji telur ayam dan goreng sebati dan seterusnya masukkan sos tiram.
Langkah seterusnya, masukkan ketam nipah yang telah dibuang insang dan perut. kemudian gaul sehingga telur ayam dan sos tiram menyeliputi keseluruhan ketam nipah.
Gaul seketika dalam lima minit dan masukkan sedikit air lebih kurang secawan kecil air dan gaulkan semula.
Selepas air kering dalam kuali, masukkan ajinomoto atau perisa tambahan dan masukkan sos cili. Gaul semula sehingga naik bau.
Setelah lebih kurang sepuluh minit, padamkan api dan sedia untuk dihidangkan di mangkuk yang sesuai.
Bagi hiasannya, terpulang kepada pembaca, samaada ingin meletak hiasan atau tidak.
Penulis menghidang Ketam Masak Sos bersama limau kesturi dan daun sup sebagai hiasan saja.
Sedap dimakan bersama nasi putih dan ketika masih panas. Selamat mencuba!
Oleh EARL ANEK