Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • SARA diperluas, lebih 13,500 kedai sertai rangkaian seluruh negara
  • SEMASA

SARA diperluas, lebih 13,500 kedai sertai rangkaian seluruh negara

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATUK Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada lawatan tinjauan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hari ini.

KUCHING: Kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan memperluaskan rangkaian peruncit kepada lebih 13,500 kedai di seluruh negara berbanding hanya sekitar 700 kedai ketika program itu diperkenalkan pada 2024.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha tersebut bertujuan memudahkan penerima SARA mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu pergi jauh, selain membuka lebih banyak peluang kepada peruncit dan usahawan tempatan untuk berkembang.

Menurut beliau, program berkenaan kini menawarkan hampir 150,000 jenis produk yang boleh dibeli melalui rangkaian SARA, termasuk produk keluaran usahawan tempatan yang diberi ruang untuk dipasarkan kepada pengguna.

“Kita bukan sahaja mahu penerima mendapat manfaat, tetapi juga mahu perniagaan tempatan berkembang. Apabila lebih banyak kedai dan produk tempatan terlibat, seluruh ekosistem akan mendapat manfaat,” katanya ketika mengadakan lawatan tinjauan program SARA di sebuah kedai lokasi Bandar Baru Samariang, hari ini.

Beliau berkata, bantuan SARA disalurkan secara bersasar mengikut keperluan penerima, dengan kadar bantuan yang berbeza berdasarkan kategori dan tanggungan isi rumah.

Dalam usaha memperluas penyertaan peruncit kecil, kerajaan turut menyediakan sistem tempat jualan (POS) yang lebih mudah dan tidak memerlukan pelaburan tinggi oleh peniaga.

Katanya, langkah itu dijangka meningkatkan penyertaan kedai-kedai kecil dalam rangkaian SARA sekali gus memperluaskan akses penerima bantuan di seluruh negara.

Bagi Sarawak, beliau berkata kira-kira 1,450 kedai telah menyertai program tersebut dengan kadar penggunaan melebihi 99.5 peratus.

“Penggunaan kad pengenalan sebagai medium pengesahan memudahkan rakyat mendapatkan manfaat tanpa perlu melalui proses yang rumit. Pendigitalan dan teknologi telah banyak membantu mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kepada rakyat,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Ketirisan subsidi terus jadi fokus kerajaan
Next: Terlalu awal nilai semula kuota BUDI Diesel

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.