
LONDON: Anak lelaki mendiang penyanyi dan bekas anggota kumpulan One Direction, Liam Payne, Bear, 9, dinamakan sebagai penerima tunggal harta pusaka penyanyi itu yang bernilai AS$29 juta (kira-kira RM123 juta), menurut dokumen mahkamah yang diperoleh majalah PEOPLE.
Dokumen berkenaan menyatakan sebahagian daripada harta pusaka bernilai AS$29,007,998 itu boleh digunakan ketika ini, namun sebahagian besar akan ditempatkan dalam satu amanah sehingga Bear mencapai usia 18 tahun.
Payne meninggal dunia pada 16 Oktober tahun lalu pada usia 31 tahun selepas terjatuh dari balkoni sebuah hotel. Beliau meninggalkan seorang anak hasil hubungan dengan penyanyi Britain, Cheryl.
Pada Mei 2025, Cheryl dilantik sebagai pentadbir harta pusaka Payne selepas penyanyi itu meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat.
Dokumen mahkamah bertarikh 1 Mei turut menamakan peguam Richard Mark Bray sebagai pentadbir bersama harta pusaka berkenaan.
Menurut laporan BBC, Cheryl, 42, dan Bray akan menguruskan harta pusaka itu, namun kuasa mereka ketika ini terhad dan mereka belum dibenarkan mengagihkan aset tersebut.
Nilai kasar harta pusaka Payne di United Kingdom dianggarkan mencecah AS$38 juta, manakala nilai bersihnya sekitar AS$32.2 juta.
Mengikut undang-undang United Kingdom, sekiranya seseorang meninggal dunia tanpa wasiat dan tidak mempunyai pasangan sah, harta pusaka biasanya akan diwarisi oleh anak-anak mereka.
Payne dan Cheryl menyambut kelahiran Bear pada 22 Mac 2017. Pasangan itu mengumumkan kelahiran anak mereka beberapa hari kemudian menerusi gambar yang dimuat naik di Instagram. — Agensi