BIARPUN kemenangan sulung berjaya diraih baru-baru ini, ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui bahawa pasukannya masih perlu bekerja keras.
Beliau turut melihat kelemahan pemainnya melakukan sentuhan penyudah mengundang kekecewaan selepas empat aksi pada kempen Liga Perdana, dan ia akan diperbaiki secepat mungkin sepanjang tempoh rehat ini.
Irfan mahu melihat kepincangan itu dapat diatasi serta memberi tumpuan khusus kepada bahagian sayap dan serangan agar ia benar-benar mantap dan mampu berfungsi sebelum pertemuan berikut menentang pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan pada 3 April di Stadium Likas Kota Kinabalu.
“Kami perlu bekerja keras, dan menggandakan usaha bagi memastikan posisi serangan dan sayap benar-benar berfungsi,” katanya pemberita semalam.
Katanya, dalam pertemuan dengan pasukan PDRM FC, baru-baru ini semua pemain menunjukkan kemahuan tinggi untuk menjaringkan gol namun terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 2-1, biarpun menyedari masih terdapat lagi beberapa kelemahan di posisi terbabit.
“Kombinasi permainan dalam kalangan pemain ketika menyerang masih belum berada di tahap yang baik. Kami akan berusaha untuk mempertingkatkannya menjelang aksi seterusnya,” ujarnya.
Irfan juga berharap pasukannya berupaya menyerlahkan aksi lebih konsisten selepas ini.
Dalam perkembangan sama, Irfan juga tidak menolak kemungkinan situasi perlu berjauhan dari keluarga sedikit sebanyak memberi impak kepada mental pemain.
Beliau menegaskan bahawa pemain perlu memiliki mental yang kuat kerana akan terpaksa bermain di tempat lawan sepanjang sepuluh perlawanan di Liga Perdana pada awal-awal musim.
“Selain itu, mental pemain juga perlu kuat dalam menghadapi cabaran apabila terpaksa beraksi di gelanggang lawan bagi kesemua sepuluh perlawanan,” jelas Irfan lagi.
Sementara itu, kelab yang bertapak di Kuching itu akan menggunakan Stadium Likas, Sabah, sebagai gelanggang alternatifnya sehingga tempoh kuarantin Kerajaan Sarawak tidak dilaksanakan untuk pemain bola sepak.
Oleh ADI SAFARMAN