
LOS ANGELES: Seorang pekerja Piala Dunia FIFA berusia 22 tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika berjalan pulang dari Stadium SoFi sejurus tamat perlawanan antara Iran dan New Zealand pada Isnin.
Mangsa, Aaron Avery, yang baru memasuki hari kedua bertugas sebagai pengawal keselamatan di stadium berkenaan, dilanggar kira-kira 10.30 malam berhampiran Van Ness Avenue oleh seorang pemandu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Menurut keluarga mangsa, pemandu terbabit dipercayai memandu laju ketika kejadian.
Ibu saudara mangsa, Norma Quinn, berkata kehilangan itu amat memberi kesan kepada keluarganya.
“Ini saat yang amat memeritkan buat keluarga saya. Dia adalah anak bongsu kesayangan kakak saya,” katanya kepada CBS News.
Keluarga mangsa turut mendakwa pemandu berkenaan mendakwa tidak melihat Avery kerana keadaan gelap dan mangsa memakai pakaian serba hitam.
Avery dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal dan mengalami kecederaan otak traumatik sebelum ditempatkan di unit sokongan hayat.
Beliau disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Menurut laporan ABC7, Avery turut mendermakan jantung, paru-paru, hati dan buah pinggangnya, yang berpotensi menyelamatkan sehingga lapan nyawa.
Keluarga mangsa kini berdepan kos perubatan serta perbelanjaan pengebumian yang tinggi dan telah melancarkan kutipan dana menerusi GoFundMe, yang setakat ini berjaya mengumpul lebih AS$5,000.
Mereka turut memaklumkan pemandu terbabit telah ditahan dan berharap tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil.
“Saya hanya berharap anak saudara saya mendapat keadilan,” kata Quinn. – AGENSI