MIRI : Kerajaan Persekutuan dan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.04 juta bagi melaksanakan sembilan projek pembersihan dan penyelenggaraan sungai bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin di sini.
Lima projek melibatkan kos RM320,000 dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, manakala empat lagi dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan kos RM720,000.
Bagi lima projek tersebut ia melibatkan kerja pembersihan Sungai Adong, Sungai Miri Kecil, pembersihan dan menggorek tanah dalam parit di Jalan Indah3, Desa Pujut, membersih parit besar di Jalan Perdana Tudan Desaras Fasa 3 dan 5 serta membersih perparitan tanah di Tudan Fasa 3 dan 5.
Sementara itu, empat lagi projek melibatkan kerja penyelenggaraan kolam iaitu di Senadin Fasa 7, Curtin Water Senadin, Tanah Bencah Permyjaya dan Senadin.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, kesemua projek tersebut dilaksanakan susulan daripada banjir yang berlaku sebahagian kecil kawasan Permyjaya, Desa Senadin dan Tudan yang berlaku pada awal Januari lalu. Sebelum ini kawasan tersebut tidak pernah mengalami masalah banjir.
“Sebelum ini, saya telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Miri, Majlis Bandaraya Miri dan Jabatan Kerja Raya Bahagian Miri untuk turun padang memeriksa dan mengenal pasti punca banjir berlaku.
“Hasil pemeriksaan tersebut didapati sungai terbabit menghadapi ‘water hising’ iaitu rumput serta tumbuhan lain-lain tumbuh atas permukaan air sungai menyebabkan aliran air tidak lancar,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pembersihan Sungai Adong di Permyjaya di sini, semalam.
Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berharap dengan apabila siapnya projek tersebut kelak, ia dapat mengatasi masalah banjir di kawasan Senadin.
Pada awal Januari lalu, hujan lebat yang melanda Miri menyebabkan beberapa kawasan di DUN Senadin dilanda banjir kilat.
Susulan itu, Kim Shin telah menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.
Oleh LIONG CHAI LING