Pertanian adalah antara sektor yang menerima kesan akibat pandemik Covid-19. Mana tidaknya, jika salah satu langkah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilakukan untuk membendung wabak itu adalah elakkan aktiviti di luar dan tinggal di rumah sahaja kecuali urusan penting sebelum ini.
Tidak lama selepas itu, walaupun telah dibenarkan beroperasi dan menjalani perniagaan seperti biasa, para penjual hasil tani pula terpaksa berdepan risiko seandainya tempat mereka berniaga berkemungkinan dikenakan sekatan pergerakan penuh setiap kali ada kes disahkan.
Pada bulan Februari lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan tidak membenarkan sebarang pengoperasian pasar tani dan pasar tamu di kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.
Bagaimanapun, kerajaan telah mengeluarkan satu inisiatif menerusi Jabatan Pertanian dan pertubuhan peladang tempatan untuk membeli hasil pertanian daripada petani yang menghadapi masalah untuk menjual hasil pertanian sepanjang tempoh penutupan.
Sejak Sarawak berterusan ‘diserang’ dengan jumlah kes yang tinggi saban hari, hampir kesemua bahagian seluruh negeri terpaksa dikenakan langkah pencegahan yang lebih ketat.
Perkara ini sebenarnya bertambah semakin teruk apabila wabak Covid-19 telah mula menular ke kawasan luar bandar seperti rumah panjang dan kampung yang rata-rata menjalani aktiviti pertanian.
Kebanyakan mereka ini adalah merupakan petani kecil-kecilan yang bergantung sepenuhnya dengan sumber pendapatan tersebut.
Bayangkan betapa gelisahnya para petani memikirkan tanaman di kebun apabila tidak dapat keluar kerana terpaksa menjalani kuarantin di rumah?
Bukan itu sahaja, bagi petani yang berniaga di pasar tamu pula, mereka juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai kemungkinan sekiranya pihak mengarahkan penutupan ke atas kawasan mereka.
Apa yang terjadi kepada mereka ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Hasil jualan yang sememangnya sudah terjejas kerana orang awam masih lagi risau dan mengelakkan tempat awam seperti pasar ditambah pula dengan arahan penutupan, ia pasti menimbulkan kerunsingan buat para petani.
Baru-baru ini, semasa meninjau salah satu lokasi baharu para penjaja yang berpindah kerana arahan penutupan sementara di tempat lama, salah seorang dari mereka yang bernama Sia Mambang berkata, keadaan diakui semakin merisaukan.
Katanya, hasil tani kurang laku sehingga banyak yang tidak terjual dan dia percaya ia disebabkan faktor ekonomi tidak menentu yang mana kuasa pembeli semakin menurun.
“Seperti yang kita tahu, ramai orang telah terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dikuatkuasakan akibat Covid-19.
“Ada di antara mereka tidak dapat bekerja atau sumber pendapatan telah berkurangan, jadi ia tidak menghairankan jika sekarang ini semua orang mula berjimat cermat dalam perbelanjaan,” jelasnya yang percaya semua bidang adalah saling berkait dan mempengaruhi antara satu sama lain.
Setiap bahagian, memang ada inisiatif dilakukan bagi mengatasi masalah petani yang tidak dapat menjual hasil tani di mana sayur dan buah-buahan mereka akan dibeli.
Misalnya, di Bintulu, hasil tani akan dibeli oleh pihak yang berkaitan tapi dengan syarat iaitu hasil tani perlu melebihi 100 kilogram bagi kategori sayur buah dan 50 kilogram bagi kategori buah-buahan.
Tidak dinafikan bahawa usaha sedemikan memang baik dan bermanfaat kepada para petani lebih-lebih lagi jika mereka memiliki hasil tani yang banyak.
Namun, bagaimana pula dengan petani kecil-kecilan? Adakah mereka perlu menunggu hasil tani mencecah berat tersebut, baru dapat menghabiskan jualan itu?
Mungkin isu ini dapat diselesaikan jika para petani tidak kiralah siapa atau dari mana, asalkan memiliki masalah terus menghubungi pihak bertanggungjawab kerana mereka sendiri amat menggalakkan para petani untuk datang dan bertanya sekiranya ada masalah.
Kesimpulannya, para petani terutamanya yang kecil-kecilan perlu tampil ke hadapan dan bersuara agar pihak kerajaan dapat melihat serta menyediakan langkah penyelesaian yang lebih efisien untuk semua pihak.
Oleh CAROLYNE UTIH