
ATLANTA, Amerika Syarikat: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam tempoh dua bulan ketika skuad La Roja memerlukan suntikan kreativiti di bahagian serangan menjelang aksi menentang Arab Saudi awal pagi nanti (waktu tempatan).
Pemain berusia 18 tahun itu membuat penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan hamstring pada 22 April lalu dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Sepanyol, namun gagal membantu pasukannya memecah kebuntuan ketika seri tanpa jaringan dengan pendatang baharu kejohanan, Cabo Verde.
Kepulangan bintang Barcelona itu adalah antara empat perubahan yang dilakukan jurulatih Luis de la Fuente susulan permulaan hambar salah satu pasukan pilihan sebelum kejohanan bermula.
Pedro Porro, Dani Olmo dan Alex Baena turut disenaraikan dalam kesebelasan utama, manakala Marcos Llorente, Fabian Ruiz, Ferran Torres dan Gavi digugurkan.
Arab Saudi juga seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan menentang Uruguay dan kini memburu satu lagi kemenangan mengejut seperti yang dicapai ke atas Argentina, yang kemudian muncul juara dunia, pada Piala Dunia empat tahun lalu. – AFP