
SIBU: Belia Sarawak digesa supaya melihat peluang yang lebih luas di seluruh Pulau Borneo bagi meningkatkan potensi diri dan memperkembangkan perniagaan seiring pembangunan pesat yang sedang berlaku di negeri ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, golongan muda tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, sebaliknya perlu berani meneroka peluang di kawasan lain termasuk Kalimantan, Indonesia.
Menurutnya, Sarawak kini berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi bernilai tinggi serta pelaburan infrastruktur.
“Jangan hadkan diri kepada Sarawak sahaja. Kita adalah sebahagian daripada Pulau Borneo yang mempunyai banyak peluang untuk diterokai oleh belia dan usahawan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kejohanan Pickleball Persahabatan Pemuda SUPP Zon Tengah 2026 bersama pengamal media di MyCentre di sini, hari ini.
Tiang berkata, kawasan zon tengah yang meliputi Sibu, Sarikei, Mukah dan Bintangor mempunyai kedudukan strategik dan berpotensi mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi yang berlaku di seluruh Borneo.
Katanya, bandar-bandar seperti Nusantara, Pontianak dan Balikpapan boleh menjadi destinasi baharu untuk diterokai oleh usahawan muda Sarawak dalam usaha mengembangkan pasaran dan jaringan perniagaan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik cadangan kerajaan Sarawak untuk membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Pontianak yang disifatkan sebagai langkah penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Sarawak dan Kalimantan.
Sementara itu, Tiang turut memuji penganjuran Kejohanan Pickleball Persahabatan Pemuda SUPP Zon Tengah 2026 yang berjaya menghimpunkan ahli parti dan pengamal media dalam suasana santai melalui aktiviti sukan.
Menurutnya, kejohanan yang disertai 28 pasukan termasuk 10 pasukan media itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membantu mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan peserta.