Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Penyerahan kembali Pelabuhan Bintulu, perkukuh agenda pembangunan ekonomi Sarawak – Abang Johari
  • TEMPATAN

Penyerahan kembali Pelabuhan Bintulu, perkukuh agenda pembangunan ekonomi Sarawak – Abang Johari

Utusan Sarawak 12 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto UKAS.

BINTULU: Penyerahan semula status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada kerajaan Sarawak menjadi detik bersejarah yang bakal memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab ekonomi dan industri berdaya saing di rantau Asia Pasifik.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengambilalihan pelabuhan tersebut merupakan hasil persefahaman yang dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, Pelabuhan Bintulu pada asalnya berada di bawah bidang kuasa negeri, namun diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada era pentadbiran terdahulu bagi membolehkan pembangunan pelabuhan itu dilaksanakan menerusi pembiayaan pinjaman dari Asian Development Bank (ADB) yang memerlukan jaminan Kerajaan Pusat.

“Ketika itu, Sarawak tidak dapat menyediakan jaminan pinjaman berjumlah kira-kira RM400 juta, justeru satu persetujuan dicapai antara Allahyarham Tun Hussein Onn dan Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub untuk meletakkan pelabuhan tersebut di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek susulan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pelabuhan Bintulu di sini, hari ini.

Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas persetujuan menyerahkan semula pelabuhan berkenaan kepada Sarawak melalui mekanisme pampasan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Beliau menjelaskan bahawa proses pengambilalihan itu bukanlah penyerahan secara percuma seperti yang disalahertikan sesetengah pihak, sebaliknya melibatkan pembayaran pampasan terhadap aset-aset pelabuhan berdasarkan persetujuan bersama.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Sarawak komited untuk terus memajukan Pelabuhan Bintulu dengan kemudahan moden dan teknologi terkini sejajar dengan perubahan landskap ekonomi global yang semakin menitikberatkan pembangunan rendah karbon serta penggunaan tenaga bersih.

Katanya, pengiktirafan Bintulu oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai sebuah kluster industri peralihan membuka peluang besar kepada Sarawak dan Malaysia untuk muncul sebagai peneraju pembangunan industri lestari berasaskan tenaga hijau.

“Dengan kelebihan tenaga boleh diperbaharui dan komitmen terhadap ekonomi rendah karbon, Pelabuhan Bintulu akan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri masa hadapan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta semua pegawai yang terlibat dalam rundingan dan proses peralihan status pelabuhan tersebut sehingga berjaya direalisasikan.

Continue Reading

Previous: Platform saYBIC lahir usahawan muda Sarawak berdaya saing
Next: Anwar ziarah Nancy, sampaikan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Kamil

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.