Stail menemubual Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak untuk mengulas lebih lanjut tentang kearifan tempatan serta pembangunan bahasa dan sastera di Sarawak.
Stail : Pada 16 Mac 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah menganjurkan Seminar Kearifan Tempatan dan Pelancaran Program Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa dan Sastera. Boleh Tn. Pengarah memberikan pencerahan tentang matlamat dan fokus primer kegiatan ini.
Pengarah DBP:
Penganjuran Seminar Kearifan Tempatan merupakan lanjutan dan kesinambungan usaha yang dilakukan oleh DBP Cawangan Sarawak. Seminar ini menjadi titik pertemuan untuk para penyelidik atau rakan penyelidik DBP untuk membentangkan penemuan atau dapatan kajian mereka. Matlamat utamanya adalah untuk memastikan segala bahan kajian dan penyelidikan dibuat penilaian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek.
Berdasarkan penemuan atau dapatan penyelidik dan pengkaji, DBP Cawangan Sarawak akan membina “rangka tindakan” bersesuaian dengan situasi projek, cakupan penyelidikan atau kajian dan mengenal pasti informan atau rakan penyelidik yang lebih berwibawa untuk membantu DBP Cawangan Sarawak melanjutkan usaha-usaha kajian dan penyelidikan dalam segala aspek yang berkaitan dan mendukung prinsip kearifan tempatan itu sendiri.
Justeru, fokus penyelidikan dan kajian sememangnya untuk menyelongkar, mengali dan memugar semula nilai-nilai kearifan tempatan dalam semua aspek kehidupan yang dipunyai oleh pelbagai kaum atau etnik di negeri Sarawak. Dengan menambah nilai ekonomi dan menyebar seluas-luasnya hasil penyelidikan melalui pelbagai wahana dalam era digital ini, kami yakin warisan kearifan tempatan akan terus lestari dalam pembinaan tamadun bangsa dan sebagai panduan generasi akan datang.
Stail : Kearifan tempatan, amat luas cakupannya. Apakah pemusatan kepada bahasa sukuan atau pribumi ini berupa titik mula kepada kerangka program yang lebih meluas seperti seni dan budaya?
Pengarah DBP:
Perbincangan berkaitan kearifan tempatan telah lama berlaku dalam kalangan pengkaji dan penyelidik, terutamanya di universiti. Sehinggakan istilah kearifan tempatan digunakan dengan maksud yang berbeza. Ada yang menyamakan kearifan tempatan dengan kepandaian tempatan dan keilmuan tempatan.
Ada juga yang membezakan antara kearifan tempatan dengan keilmuan tempatan tetapi menyamakan takrif kearifan tempatan dengan kepandaian lokal. Di samping itu, terdapat sarjana yang mentakrifkan kearifan tempatan dengan budaya. Pendefinisian yang berbeza ini sebenarnya membuka banyak ruang pemahaman dan cakupan yang paling wajar untuk kita membina korpus perihal kearifan tempatan.
Dalam membincangkan tentang kearifan tempatan, tiga konsep yang saling melengkapi yang perlu sama-sama kita rungkaikan, iaitu keilmuan tempatan, kepandaian tempatan dan kearifan tempatan.
Pertama, keilmuan tempatan merujuk kepada sesuatu maksud fakta, maklumat dan kemahiran yang dijana melalui pengalaman dan proses pembelajaran yang terhad pada kawasan tertentu atau satu kejiranan tertentu.
Kedua, kepandaian tempatan merujuk kepada keintelektualan yang istimewa, kekreatifan dan segala kemahiran semula jadi manusia dalam masyarakat setempatnya sehingga mampu mempengaruhi, sama ada yang baik atau buruk, atau yang berkaitan dengan unsur-unsur mistik dan misteri.
Ketiga, kearifan tempatan yang merujuk kepada pemikiran yang berkualiti berasaskan pengalaman, keilmuan dan penilaian yang baik, di samping pemikiran yang waras dan penuh dengan kebijaksanaan serta hikmah dalam masyarakat setempat. Dengan kata lain, kearifan tempatan merupakan suatu sistem yang merangkumi kehidupan sosial, politik, budaya, ekonomi dan lingkungan dalam masyarakat tempatan. Maka, keilmuan tempatan dan kepandaian tempatan merupakan elemen dan komponen kearifan tempatan yang memiliki beberapa ciri seperti dinamik, diwarisi dan diterima oleh masyarakat.
Berdasarkan definisi dan huraian tentang kearifan tempatan tersebut, DBP Cawangan Sarawak memulakannya melalui kajian dan penyelidikan tentang bahasa peribumi dan sastera tradisional pelbagai kaum yang ada di negeri Sarawak. Langkah awal ini untuk memudahkan DBP Cawangan Sarawak merangka keilmuan lain yang ada tersembunyi dalam kearifan tempatan berdasarkan kaum dan etnik.
Realitinya demikian, kerana kebijakan etnik berbeza-beza berdasarkan persekitarannya, iaitu alam. Sebagai contoh, orang Melayu lebih berpengetahuan tentang laut dan kerja-kerja nelayan kerana pertautan rapat alamnya dengan laut, tetapi tidak bagi orang Iban yang mungkin lebih arif bercucuk tanam kerana alam mereka lebih ke arah daratan. Rasional yang sedemikian inilah yang akan diguna pakai oleh DBP Cawangan Sarawak untuk memperluas pemaknaan tentang kearifan tempatan, sama ada dalam hal seni, budaya, pemikiran, teknologi, ekonomi dan sebagainya. Usaha kajian dan penyelidikan tidak mungkin hanya dapat dilakukan oleh DBP Cawangan Sarawak. Maka, DBP Cawangan Sarawak akan bersinergi dengan pelbagai agensi, terutamanya pihak universiti dan di samping itu turut membina rangkaian kerjasama dengan rakan penyelidik yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memastikan justifikasi dan dapatan kajian serta penyelidikan benar-benar berwibawa dan mempunyai autoritinya tersendiri.
Oleh MOHIDIN MALEK