
KRIAN: Penantian penduduk Rumah Majid, Tengalat Baru untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila projek penyambungan elektrik bernilai RM500,000 mula dilaksanakan secara rasmi oleh pihak kontraktor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata projek di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini, sekali gus menamatkan kebergantungan penduduk terhadap penggunaan generator dan sistem tenaga solar.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan asas serta kualiti hidup masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan yang masih berdepan kekangan bekalan elektrik.
Beliau berkata, penduduk 23 pintu di Rumah Majid bakal menikmati kemudahan bekalan elektrik yang lebih selamat, stabil dan berterusan selepas projek itu siap sepenuhnya.
Friday berkata, kemudahan itu bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah mampu menyokong aktiviti pendidikan, ekonomi dan sosial yang memerlukan bekalan elektrik yang konsisten.
Terdahulu, mesyuarat permulaan projek telah diadakan di bilik mesyuarat Depo Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong bagi menyelaras pelaksanaan kerja serta memastikan projek berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sesi tersebut turut melibatkan penerangan kepada pihak kontraktor dan penerima projek sebelum proses penyerahan tapak dilakukan sebagai langkah awal pelaksanaan.
Majlis penyerahan tapak itu dihadiri wakil ADUN Krian, James Jimbun, Pegawai Pemantau JKR Saratok, Broody Mancha, selain wakil pihak kontraktor dan penerima projek.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk Rumah Majid dengan menyediakan akses kepada kemudahan elektrik moden yang lebih efisien dan boleh dipercayai.
Dengan bermulanya projek tersebut, penduduk Rumah Majid, Tengalat Baru kini semakin hampir untuk menikmati perubahan besar dalam kehidupan harian apabila tidak lagi perlu bergantung kepada generator dan tenaga solar sebagai sumber bekalan elektrik utama.
Oleh Adi Safarman