
BINTANGOR: Masyarakat luar bandar terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan dan kebajikan menerusi pendekatan turun padang yang dilaksanakan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, lawatan ke rumah panjang merupakan platform penting untuk beliau mendengar sendiri pandangan dan memahami isu yang dihadapi oleh penduduk.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan pelbagai keperluan dan permasalahan penduduk dikenal pasti secara lebih dekat bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan.

“Lawatan ini memberi peluang kepada saya untuk mendengar sendiri pandangan, keperluan dan isu yang dihadapi oleh penduduk.
“Melalui pertemuan secara bersemuka, kita dapat memahami dengan lebih jelas perkara yang diperlukan oleh masyarakat demi memastikan pembangunan dan kebajikan mereka terus diberi perhatian,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Buloh dan Sungai Selidap, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, hubungan erat antara wakil rakyat dan masyarakat amat penting dalam memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, beliau sentiasa komited untuk turun padang bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan semasa serta perkembangan di kawasan luar bandar.
“Sebagai wakil rakyat, saya percaya pendekatan turun padang adalah cara terbaik untuk memahami keadaan sebenar masyarakat dan mendengar sendiri suara mereka.
“Maklum balas yang diterima akan membantu dalam merancang pelbagai inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Antara rumah panjang yang dikunjungi, Rumah Stanley Miran, Rumah Ngipa Andieng, Rumah Embom, Rumah Jin Jalang, Rumah Noven Naong, Rumah Sumpun Rampai, Rumah Badindang Luka dan Rumah Doris Chupe.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang telah memberikan sambutan mesra dan kerjasama sepanjang lawatan tersebut.
Oleh Earl Anek