Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Dunia: Marmoush mahu keluar daripada bayangan Salah sebagai wira Mesir
  • SUKAN

Piala Dunia: Marmoush mahu keluar daripada bayangan Salah sebagai wira Mesir

Utusan Sarawak 7 hours ago

Omar Marmoush berazam membantu Mesir meraih kemenangan pertama mereka di Piala Dunia sambil keluar daripada bayangan Mohamed Salah untuk muncul sebagai wira baharu Mesir. — Foto AFP

VANCOUVER: Omar Marmoush pernah menolak peluang untuk mewakili Kanada, namun di Vancouver pagi esok dia berpeluang menjadi wira negaranya, Mesir, dengan mencipta sejarah di Piala Dunia.

Mesir merupakan kuasa besar bola sepak Afrika dengan rekod tujuh kejuaraan benua, namun masih belum pernah memenangi sebarang perlawanan dalam lapan aksi Piala Dunia.

Pertemuan menentang New Zealand, yang berada 56 anak tangga di bawah Mesir dalam ranking FIFA, memberi peluang terbaik kepada Mesir untuk meraih kemenangan sulung di Piala Dunia sekali gus melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

Bagi Marmoush, ia juga peluang untuk membuktikan kemampuannya di pentas dunia.

Omar Marmoush (kanan) sering dibayangi kehebatan Mohamed Salah dalam skuad Mesir, namun penyerang itu kini bertekad mencipta nama sendiri di pentas Piala Dunia. — Foto AFP

Sering dibayangi status bintang Mohamed Salah dalam skuad kebangsaan, Marmoush juga terpaksa berkongsi perhatian dengan Erling Haaland di peringkat kelab sejak menyertai Manchester City 17 bulan lalu.

“Ia sukar, tetapi pada masa sama menjadikan anda lebih baik kerana apabila berada di atas padang, anda perlu memberikan yang terbaik. Anda perlu beraksi cemerlang kerana sentiasa ada pemain lain yang menunggu untuk mengambil tempat anda,” kata Marmoush dalam satu temu bual bersama GQ Middle East.

“Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Seluruh perjalanan karier saya membawa saya ke sini – bersaing dan bermain bersama pemain terbaik dunia serta cuba memenangi kejuaraan.”

Anak kelahiran Kaherah itu meninggalkan kelab Wadi Degla dan tanah airnya ketika berusia 18 tahun untuk membina kerjaya di Eropah bersama kelab Jerman, Wolfsburg.

Selepas tempoh pinjaman di St. Pauli dan Stuttgart, beliau menyerlah sebagai bintang Bundesliga bersama Eintracht Frankfurt sebelum melengkapkan perpindahan bernilai 70 juta euro (AS$80 juta) ke Manchester City.

Ketika tahun-tahun awalnya di Jerman, perkembangan Marmoush turut menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Kanada.

Ibu bapanya memperoleh kerakyatan Kanada selepas bekerja di negara itu sebelum kelahirannya.

“Pasukan kebangsaan Kanada menghubungi saya… jurulatih mereka sendiri menelefon saya,” katanya dalam rancangan bual bicara Mesir, Sahibat Al Saada.

“Tetapi apabila saya menerima panggilan itu, keputusan saya sudah dibuat: pasukan kebangsaan saya ialah Mesir. Saya meletakkan Mesir mengatasi segala-galanya.”

Impian besar

Walaupun belum menikmati status seperti Salah, Marmoush tetap menjadi tonggak penting dalam usaha Mesir mara lebih jauh di Piala Dunia.

Perkembangannya turut membantu mengurangkan beban jaringan gol yang selama ini dipikul Salah, yang kini berusia 34 tahun dan melalui musim terakhir yang mengecewakan bersama Liverpool selepas sembilan tahun yang gemilang.

“Ia adalah pasukan yang bertahan dan melakukan serangan balas, dengan dua pemain hebat iaitu Salah dan Marmoush – kedua-duanya sangat pantas,” kata jurulatih Belgium, Rudi Garcia selepas keputusan seri 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan G.

Di atas kertas, Belgium merupakan lawan paling sukar buat Mesir pada peringkat kumpulan.

New Zealand juga belum pernah memenangi perlawanan Piala Dunia, manakala lawan terakhir Mesir, Iran, berdepan beberapa gangguan logistik dan emosi susulan konflik melibatkan tuan rumah bersama, Amerika Syarikat dan Republik Islam itu.

Mesir, negara Arab paling ramai penduduk di dunia dan sekian lama gagal menyerlah di pentas global, amat mendambakan kemenangan Piala Dunia untuk diraikan.

“Saya fikir Piala Dunia adalah detik bola sepak yang membolehkan anda bermimpi sejauh mungkin,” tambah Marmoush.

“Kami sentiasa bermimpi besar. Sangat bagus apabila begitu banyak pasukan dari Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) beraksi pada kejohanan kali ini, tetapi ia bukan sekadar tentang jumlah.

“Kami mahu datang dan beraksi dengan baik. Kami kini berada di pentas terbesar bola sepak dunia, jadi mari tunjukkan kemampuan kami.” – AFP

Continue Reading

Previous: Jepun belasah Tunisia 4-0 pada perlawanan ke-1,000 Piala Dunia
Next: Ronaldinho kembali dari persaraan, sertai kelab divisyen ketiga Itali

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.