ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD) bagi Covid-19 di Taman Desa Ilmu di Kota Samarahan dilanjutkan sehingga 3 Mei kerana setakat semalam hanya 20 peratus rumah di kawasan itu dapat dikunjungi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ACD itu dilanjutkan kepada tiga hari lagi berbanding rancangan asal tiga hari bermula 28 hingga 30 April sahaja.
“Hasil daripada ACD di Taman Desa Ilmu dan Uni Garden, bilangan rumah yang dikunjungi bermula pada 28 hingga 29 April adalah sebanyak 2,288 rumah, manakala sebanyak 820 rumah terkunci.
“Bagi bilangan orang yang dipanggil untuk menjalani pemeriksaan adalah seramai 221 panggilan dan jumlah orang yang telah disaring adalah seramai 124 orang,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kuching, semalam.
Tambah Uggah, bilangan kenalan rapat yang telah diketahui belum disaring adalah seramai 97 orang.
“Pejabat Kesihatan Samarahan masih mengumpul semua sampel dan beberapa sampel telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Nasional (Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui penerbangan komersial yang hanya terbang dua kali seminggu.
“Sehubungan itu, JPBNS hari ini membuat keputusan bahawa semua sampel dan ujian akan diproses di Kuching supaya kita mendapat keputusan lebih cepat selain penerbangan komersial ke Kuala Lumpur adalah sangat terhad,” jelasnya.
Tegas Uggah, ACD itu dijalankan bagi membolehkan JPBNS mengesan kes kontak rapat dan kontak kasual bagi kes-kes positif di kawasasn itu.
Ditanya pemberita mengenai jumlah mereka yang belum membuat saringan, Uggah berkata pihaknya tidak mempunyai angka tersebut termasuk sebarang kes positif dan negatif di kawasan tersebut kerana masih menunggu keputusan ujian makmal.