SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar bukan sahaja akan menjadi gerbang merentasi masa dan jarak baharu bagi rakyat di Sarawak, tetapi bakal meluaskan pintu rezeki kepada penduduk setempat.
Menurut Abu Bakar Serah, 63, pembinaan jambatan ini adalah satu berita gembira yang dinantikan oleh penduduk di sekitar Sebuyau, Meludam dan Beladin kerana ia memendekkan jarak dan masa dengan daerah lain.
Katanya, keadaan ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai penduduk dari setiap pelusuk daerah untuk merasai pengalaman menggunakan jambatan terpanjang di Borneo ini, dan sekaligus singgah berkunjung di kawasan ini.
“Sekarang ini kita bergantung dengan menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberang. Kekurangannya adalah kita terpaksa menunggu giliran dan menyeberang dalam satu jam.
“Ini belum lagi jika tiba musim perayaan, ia boleh mencecah dua hingga tiga jam untuk menunggu giliran sahaja.
“Oleh itu, tumpuan orang hanya untuk mengejar masa, dan ini menyebabkan mereka merasa berat hati untuk berhenti singgah di kawasan kami ini.
“Sekiranya jambatan sudah siap nanti, orang tidak lagi perlu mengejar masa, dan berkesempatan untuk singgah di sini nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, di sini semalam.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP