Pepatah lama ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Pepatah itu memang sesuai untuk menjelaskan tentang usaha dan cinta Tunas Redy, 49, dari Kampung Jagoi Duyoh di Bau terhadap bidang kraf tangan.
Kata Tunas, sejak dari kecil beliau sudah jatuh cinta dengan kraf tangan, terutama yang berupa aksesori wanita tetapi tiada asas untuk menghasilkannya sendiri. Justeru, beliau akan membeli kraf tangan yang diminatinya itu dan bila sampai ke rumah, meleraikannya satu persatu untuk mengetahui cara ia dihasilkan.
Dengan hanya bimbingan seperti itu, pada tahun 2011 beliau nekad menjadikan bidang kraf tangan sebagai sumber pendapatannya , tetapi terhad dengan pembuatan tudung saji sahaja. Tambahan pula ketika itu beliau masih belajar cara mencari bahan-bahan untuk projek kraf tangannya serta bagaimana memasarkannya.
Selepas bertemu dengan pembekal bahan-bahan mentah dari China yang selalu berurusan di Kuching, Tunas akhirnya mampu membeli bahan-bahan untuk kraf tangannya dengan harga mampu milik dan dalam kuantiti yang banyak.
“Saya semakin teruja untuk menghasilkan kraf tangan atas jenama saya sendiri seperti rantai, gelang,tetapi saya lebih utamakan kraf tangan bermotif tradisional Bidayuh. Saya orang Bidayuh jadi kraf tangan kaum sendiri memang dekat di hati ” katanya.
Bermula dengan jumlah keluaran yang terhad, Tunas bertatih menambah pengeluaran kraf tangannya, lebih-lebih lagi selepas mendapat bimbingan daripada Majlis Kraf Sarawak melalui pelbagai kursus yang ditawarkan.
“Saya mula mempelbagaikan produk kraf tangan saya dengan produk bercita rasa moden atas permintaan ramai pelanggan. Maklumlah, lain orang lain cita rasanya saya sebagai pengeluar, saya berusaha memenuhi setiap permintaan” kata Tunas.
Ketika itu beliau sudah banyak kali menerima undangan dan menyertai festival dan promosi kraf tangan di seluruh negara. Bak kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan. Dari perjalanan seperti inilah Tunas mendapat banyak ilham baharu untuk kraf tangannya, selain berjaya mendapatkan pembekal bahan mentah dari Sabah dan Kuala Lumpur untuk merancakkan lagi pengeluaran produknya.
Seperti usahawan lain masa kini, Tunas mempromosikan produk beliau di laman-laman sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Selain itu, beliau juga menyewa kiosk di sebuah pasar raya bagi mempamer dan menjual kraf tangan uniknya.
Untuk menyesuaikan produknya dengan cita rasa pelanggan, Tunas selalu mendengar maklum balas daripada para pelanggan beliau dan membuat perubahan yang perlu sebagaimana yang diminta.
“Syukurlah, saya selalu terima maklum balas yang positif. Tetapi jika ada yang tidak berpuas hati, saya akan ubah mengikut kehendak pelanggan,” tambah beliau.
Sibuk menjaga kiosk dan melayan permintaan pelanggan tidak mengekang Tunas daripada terus menambah hasil kraf tangan. Dalam sehari, wanita gigih ini mampu menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh aksesori rumit seperti choker, rantai dan gelang Bidayuh.
“Kalau aksesori yang mudah, jumlahnya lebih banyak daripada itu. Ini pekerjaan saya, jadi saya memfokus sepenuhnya agar dapat menambah produk setiap hari,” kata Tunas sambil menambah, permintaan daripada pelanggan biasanya mencanak naik pada musim-musim perayaan.
Tunas mengakui pandemik Covid-19 memang menjejaskan perniagaannya tetapi ini sama sekali tidak menjejaskan semangatnya untuk terus memajukan kraf tangannya. Malah beliau menggunakan kesempatan ini untuk menambahbaik kualiti dan menambah jumlah pengeluarannya untuk persediaan pasca Covid-19 nanti.
Malah Tunas juga tidak lokek untuk berkongsi ilmua dengan sesiapa sahaja yang ingin menjadikan bidang kraf tangan sebagai sumber pendapatan sampingan untuk diri atau keluarga.
“Kraf tangan adalah minat saya. Jika ada yang berminat untuk belajar, boleh datang ke galeri saya di Kampung Jagoi Duyoh. Sekurang-kurangnya ini sumbangan saya untuk industri kraf tangan amnya, dan kraf tangan Bidayuh, khasnya,” tambah beliau.
Oleh HAINI DARANI