
DALAT: Industri balau yang sekian lama menjadi sumber pendapatan utama masyarakat di Dalat perlu terus diperkasakan kerana mempunyai nilai ekonomi dan sejarah yang penting kepada penduduk tempatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bahawa bagi generasi terdahulu, hasil balau menjadi sumber utama untuk menampung kos sara hidup keluarga.
“Bagi masyarakat tempatan, rumbia dan balau bukan sekadar tanaman. Dahulu, hasil balau menjadi sumber kewangan utama keluarga untuk menghantar anak-anak ke sekolah serta menampung kos sara hidup. Balau ialah ‘bank’ kepada penduduk tempatan di sini.
“Oleh sebab itu, industri ini begitu dekat di hati masyarakat dan amat relevan untuk terus diperkasakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Balau Dalat 2026 di Tebingan Dalat, di sini, hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata bahawa kawasan itu sememangnya sinonim dengan industri sagu dan merupakan kawasan penanaman sagu terbesar di Sarawak dengan keluasan 14,324 hektar, iaitu kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sagu di negeri ini.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah Sarawak (SNDB) pada 2022 bagi memastikan pembangunan industri sagu dan nipah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berdaya saing.
“Antara fokus utama SNDB ialah memperkasa pekebun kecil, memulihkan kawasan penanaman sagu, membangunkan modal insan, memperkenalkan teknologi moden serta mengukuhkan rantaian nilai industri,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, SNDB turut melaksanakan pendaftaran pekebun kecil bagi mewujudkan pangkalan data lengkap untuk membantu kerajaan merancang pembangunan industri dengan lebih berkesan.
Setakat ini, seramai 937 pekebun kecil telah didaftarkan, melibatkan 653 orang pada 2025 dan 284 orang lagi pada tahun ini.
Menyentuh mengenai Karnival Balau Dalat 2026, Fatimah berkata bahawa penganjuran tahun ini merupakan edisi kelapan sejak diperkenalkan pada 2015.
“Penganjuran ini membuktikan komitmen berterusan kita bukan sahaja untuk memperkasakan industri sagu dan rumbia, malah untuk memartabatkan budaya yang berakar daripada industri tersebut.
“Selaras dengan tema ‘Berakar Rumbia, Berinti Budaya’, karnival ini menjadi wadah penting dalam memelihara identiti masyarakat setempat,” katanya.
Turut hadir ialah Pengurus Besar SNDB, Zaidell Hussaini.
Oleh Tarani Lanting