
RIO DE JANEIRO: Kerajaan Brazil akan memperhebat tindakan tegas terhadap pengendali pertaruhan haram dan menggunakan dana yang dirampas untuk menyokong inisiatif keselamatan awam, kata Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada Jumaat, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
“Kami akan memerangi setiap pertaruhan haram di negara ini dengan segala cara yang mungkin,” kata Lula semasa menandatangani dekri yang memperkenalkan langkah baharu itu.
Langkah itu dibuat selepas jumlah pertaruhan yang sangat tinggi dikesan semasa Piala Dunia bola sepak lelaki yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Di bawah peraturan baharu itu, pihak berkuasa akan dapat membekukan aset milik pengendali platform pertaruhan dalam talian haram.
Jika salah laku disahkan menerusi prosiding pentadbiran dan kehakiman, dana berkenaan akan dipindahkan ke Tabung Keselamatan Awam Negara Brazil.
Menurut kerajaan, wang itu akan digunakan sebahagiannya untuk memerangi jenayah terancang.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas pihak berkuasa melancarkan Operasi ‘Conto da Sorte’ (Tiket Bertuah) menyasarkan rangkaian yang didakwa pengendali pertaruhan haram.
Siasatan itu termasuk dakwaan pengubahan wang haram, perjudian haram dan penyertaan dalam organisasi jenayah, menurut portal berita G1, memetik penyiasat. – Bernama