Ikan Layar atau Lumi atau nama saintifiknya Harpodon Nehereus merupakan ikan air masin. Masyarakat Sarawak menggelar ikan ini sebagai ikan lumek. Ia merupakan ikan yang penting secara komersial dan dijual di pasar-pasar sebagai bahan mentah yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
Pada zaman dahulu, ikan lumek ini tiada nilai pasaran kerana fizikalnya dianggap pelik dengan gigi panjang dan tajam serta rahang yang besar serta memiliki isi yang lembut dan lembik.
Asalnya, ikan lumek ini hanya sesuai dijadikan hidangan seperti digoreng atau dibuat sup sahaja. Namun, kini ikan lumek ini telah mendapat permintaan tinggi dan harganya telah meningkat belipat kali ganda.
Hal ini berikutan daripada kepelbagaian hidangan berasaskan ikan ini diikuti dengan teknologi dalam pemprosesan makanan telah menjadikannya sebagai sebuah produk baru yang lebih enak dan sesuai dijadikan kudapan bila-bila masa sahaja.
Sejak kebelakangan ini, produk berasaskan ikan lumek seperti ikan lumek kering atau ikan lumek salai merah sangat popular dalam kalangan rakyat Sarawak terutamanya pada musim perayaan.
Lumek Merah diperbuat daripada ikan Lumek yang dibuang tulangnya kemudian disalai. Rasa Lumek Merah yang seakan-akan seperti sotong merah menjadikannya popular sebagai snek ataupun kudap-kudapan terutamanya pada musim perayaan. Cara pemprosesan yang asli menambahkan lagi keunikan dan rasa sedap lumek tersebut.
Sebelum ini, ikan Lumek sama ada mentah atau yang disalai sememangnya kurang dikenali oleh masyarakat luar Sarawak. Walaupun begitu, sejak ia diperkenalkan ke pasaran baru-baru ini, ia telah mendapat permintaan yang tinggi dan diterima masyarakat. Malah, ia sering dibeli sebagai buah tangan oleh para pengunjung khusunya dari Semenanjung Malaysia.
Stokis terbesar produk berasakan Lumek, Roziana Maulad Ebidin, dari Kabong berkata beliau menceburkan diri dalam perniagaan produk Lumek ini kerana melihat pasaran produk ini mampu pergi jauh. Beliau yang memang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang perniagaan sejak dahulu lagi telah mempunyai kedainya yang tersendiri yang dikenali sebagai Ziana Enterprise.
Menurut beliau, pelbagai jenis perniagaan yang telah dilakukannya seperti menjual produk kosmetik, simkad, dan produk makanan yang lain seperti burger dan sebagainya. Namun, perniagaannya semakin dikenali sejak beliau menceburkan diri dalam penjualan produk Lumek merah ini.
Bukan itu sahaja, beliau yang mempunyai bakat dalam bidang pemasaran, berjaya memasarkan produk ini di Facebook dan juga di aplikasi Shopee sehingga ia dikenali di Semenanjung Malaysia. Selain itu, beliau juga mempunyai ramai ejen yang membantu menjual dan memperluaskan produknya.
Disamping produk ikan Lumek Merah, beliau juga turut menjual dan mempromosikan produk ikan Lumek Satay, ikan bilis Merah dan ikan bilis Satay. Lain daripada itu, beliau juga turut mengusahakan produk biskut dan kuih tradisional hasil tangannya dan ibunya.
Ujarnya, produk ikan lumek kering merah ini mempunyai rasa sama seperti sotong kering tetapi ia diproses secara tradisional untuk mengekalkan rasanya yang semula jadi dan berkualiti tinggi.
“Produk ikan Lumek ini dijual dengan dua rasa yang berbeza iaitu ikan Lumek Merah dan ikan Lumek Satay. Ia dijual dengan harga RM10 untuk 100 gram, RM50 untuk 500 gram dan RM 100 untuk sekilogram,”maklumnya.
Sementara itu, beliau berkata kerja-kerja pemprosesan makanan tersebut mengambil masa sehari atau lebih bergantung kepada keadaan cuaca.
“Selepas dikeluarkan tulang dari isi, ikan ini kemudian digoreng dengan pelbagai bahan seterusnya dikeringkan di bawah cahaya matahari,” tambahnya.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ