SIMANGGANG: Ketua Kaum adalah ‘alat penting’ bagi menyampaikan dasar dan polisi pembangunan Kerajaan Sarawak kepada rakyat dalam negeri ini, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, tanpa ketua kaum adalah sukar buat Kerajaan Sarawak untuk menyedarkan rakyat mengenai pentingnya perlaksanaan dasar dan polisi terhadap proses pembangunan hidup mereka dari masa ke semasa.
“Ketua kaum yang terdiri daripada tuai rumah dan ketua kampung seharusnya tahu bahawa mereka telah pun diberi elaun bagi melaksanakan tugas menyebar dasar dan polisi kerajaan dalam kalangan anak buah masing-masing dari masa ke semasa.
“Mohon manfaat elaun itu bagi tujuan berkenaan. Bantulah kita memperkasa proses pembangunan negeri ini dengan membantu mempertingkat kefahaman rakyat di penempatan mereka sendiri mengenai polisi dan dasar kerajaan,” kata beliau.
Harden berkata demikian ketika berucap pada majlis ringkas penyerahan Sijil Pelantikan dan Pelanjutan Ketua Kaum kepada enam individu di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N32 Simanggang di sini baru-baru ini.
Selain itu beliau pada majlis itu juga memberitahu, penyampaian sijil ketua kaum berkenaan menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak mengiktiraf khidmat bakti dan sumbangan mereka terhadap proses pembangunan di peringkat akar umbi selama ini.
“Saya memohon kepada Ketua Kaum agar bertindak memantapkan organisasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditubuh di penempatan masing-masing.
“Lagi pun usaha ketua kaum ini juga turut dibantu kerajaan yang sudah pun bersetuju untuk membayar elaun sebanyak RM300 sebulan kepada setiausaha organisasi tersebut demi mengiktiraf peranan mereka selama ini,” kata beliau.
Justeru, Harden berharap agar ketua kaum yang dilantik atau dilanjutkan tempoh perkhidmatan sebelum ini agar bertindak melaksana tanggungjawab mengurus proses pembangunan anak buah masing-masing demi mencapai aspirasi Kerajaan Sarawak.
Hadir sama bagi menyaksikan majlis ringkas penyerahan sijil itu adalah Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee dan Ketua Masyarakat Kaum Iban kawasan Batu Lintang, Undop, Penghulu Mingging Sigan.
Oleh VALENTINE NGUMBANG