
PETRA JAYA: Allahyarham Datuk Kamil Misuari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang pada kira-kira 5.15 petang tadi dalam suasana penuh hiba dan pilu.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Kuala Lumpur ke Kuching sebelum dibawa ke kediaman rasmi isterinya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri di Taman Serira bagi memberi ruang kepada ahli keluarga, sahabat handai serta kenalan untuk memberikan penghormatan terakhir.
Suasana di kediaman berkenaan diselubungi kesedihan apabila ratusan pelawat hadir untuk mengucapkan takziah dan mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman serta ramai lagi pemimpin negeri dan Persekutuan.

Selesai sesi penghormatan terakhir dan solat jenazah, jenazah Allahyarham diiringi ahli keluarga dan sahabat handai ke Tanah Perkuburan Islam Samariang untuk dikebumikan.
Pemergian Allahyarham pada usia 65 tahun meninggalkan duka mendalam buat Nancy serta tiga anak mereka, Faeroz, Farouk dan Bibi Freka.
Dilahirkan pada 30 Mac 1961 di Lahad Datu, Sabah, Allahyarham mempunyai pengalaman hampir 24 tahun dalam sektor perbankan sebelum bersara awal pada 2008 dan aktif dalam pelbagai bidang korporat serta kemasyarakatan.
Seorang yang dikenali dengan sifat tenang, merendah diri dan mudah didekati, Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai suami, bapa dan sahabat yang sentiasa menghulurkan sokongan kepada insan di sekelilingnya.
Upacara pengebumian Allahyarham diketuai oleh Imam Besar Negeri, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, dengan dihadiri ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai serta para pemimpin yang turut mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham hingga ke liang lahad.
Oleh Shahrul Qaizat