Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Isu buaya: SFC perlu pantau, tangani sewajarnya – Karim
  • SEMASA

Isu buaya: SFC perlu pantau, tangani sewajarnya – Karim

Utusan Sarawak 3 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media selepas menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-200 saintis dan pengembara Hungary, Janos Xantus di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) perlu memainkan peranan sewajarnya bagi memantau dan menangani kehadiran buaya di negeri ini termasuk di lokasi popular pelancong.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini bagi memastikan keselamatan orang ramai.

“Saya amat berharap agar SFC) dapat melakukan sesuatu,” katanya selepas menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-200 saintis dan pengembara Hungary, Janos Xantus, di Pustaka Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular yang memaparkan seekor buaya muncul di kawasan Tebingan Kuching, lokasi yang menjadi tumpuan pelancong, baru-baru ini.

Abdul Karim berkata kemunculan seekor buaya di kawasan Tebingan Kuching yang tular baru-baru ini perlu dipandang serius dan tidak boleh dianggap sekadar tarikan pelancongan,

Beliau berkata, SFC perlu memantau dan menangani kehadiran reptilia berkenaan demi memastikan keselamatan orang ramai, khususnya pengunjung yang sering beriadah di kawasan tersebut.

“Sebelum ini mereka (SFC) pernah menjalankan operasi penangkapan di sana (Tebingan Kuching).

“Banyak juga buaya yang tinggal di bawah Masjid Terapung Kuching telah ditangkap dan kemudiannya ditempatkan di pusat perlindungan di Matang,” katanya.

Menurut Abdul Karim, kewujudan buaya di Sungai Sarawak, khususnya di sekitar Masjid Terapung Kuching sememangnya diketahui umum, namun orang ramai perlu sentiasa berwaspada kerana haiwan tersebut merupakan pemangsa yang boleh mengancam nyawa.

“Dari satu sudut, kita boleh katakan bahawa ia bagus untuk pelancongan kerana semua orang yang datang ke sana pasti mahu melihat buaya hidup.

“Tetapi kita juga perlu sangat berhati-hati. Buaya boleh dianggap sebagai pemangsa. Jika anda tidak berhati-hati, anda mungkin akan dimakan oleh buaya,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada satu video lain yang menunjukkan seekor buaya membaham burung merpati dan menyifatkannya sebagai bukti bahawa reptilia berkenaan masih aktif memburu mangsa.

“Saya ada melihat video buaya memakan burung merpati yang berjaya ditangkapnya. Itu bermakna buaya tersebut bukanlah jenis yang jinak.

“Jika ada kanak-kanak yang mandi di sungai itu, mereka mungkin berakhir menjadi mangsa buaya,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim percaya buaya yang muncul dalam video tular berkenaan berkemungkinan merupakan reptilia baharu memandangkan banyak buaya pernah ditangkap di kawasan sama sebelum ini.

“Tetapi yang ini mestilah seekor buaya yang baharu. Saya tahu sebelum ini mereka sudah menangkap banyak buaya di situ. Ini pasti buaya baharu,” katanya.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata tidak pasti mengapa buaya sering memilih kawasan di bawah Masjid Terapung Kuching sebagai habitatnya.

“Mungkin mereka suka mendengar bunyi azan. Sejuk sedikit di bawah sana, mungkin juga,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jenazah suami Nancy Shukri disolatkan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching
Next: Sarawak berharap perdamaian Amerika Syarikat – Iran berkekalan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.