SIBU: Pusat Perubatan Rejang (RMC) menjadi hospital swasta pertama di Sibu yang menubuhkan makmal ujian Real Time Polymerase Chain Reaction (rT-PCR), dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan pemprosesan sampel calitan Covid-19 di Bahagian Sibu.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Dr. Annuar Rapa’ee berkata, makmal tersebut dibina dengan kos sekitar RM500,000 membabitkan kos pembinaan bangunan RM200,000, manakala kos peralatan berjumlah RM300,000.
Beliau berkata, makmal tersebut dilengkapi mesin PCR yang terbaharu yang dapat mengeluarkan keputusan ujian calitan Covid-19 dalam masa dua jam.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada RMC dan BMC (Pusat Perubatan Borneo) kerana sejak hari pertama wabak ini dikesan di Sibu, mereka bersedia menerima sampel dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“RMC juga membantu kami dengan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) yang disasarkan untuk Zon Tiong Hua yang berakhir pada Ahad lalu.
“Ini adalah kerjasama yang baik antara kerajaan dan swasta dan kerjasama ini penting untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di Sibu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di Makmal PCR RMC, semalam.
Dr. Annuar Rapa’ee memberitahu bahawa, makmal KKM di Sibu pada masa ini mampu mengendalikan 1,000 sampel sehari, namun jumlah tersebut hanya boleh dicapai sekiranya kakitangan KKM bertugas 24 jam sehari tanpa henti.
“Justeru, kita menghantar sampel kepada pihak swasta seperti Pusat Perubatan Rejang dan Pusat Perubatan Borneo (BMC).
“Mereka dapat melakukan dengan lebih cepat, dalam tempoh dua jam mereka sudah boleh mengeluarkan keputusan ujian calitan. Dengan itu, kita mampu memproses lebih 1,000 sampel setiap hari,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 88,148 sampel telah diuji sejak pandemik itu bermula di Sibu pada Januari lalu.
Untuk Zon Tiong Hua, katanya RMC telah mengambil kira-kira 2,000 sampel dengan hanya tujuh kes positif.
“Kadar positif sangat rendah di Zon Tiong Hua, walaupun anda dapat melihat setiap hari, satu atau dua kes, tetapi kadar positif sangat rendah,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara (Senator) Robert Lau Hui Yew, Pengarah Urusan RMC Dr John Tang, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, Ahli Mikrobiologi RMC Vivian Chai dan yang lain.
Oleh NURZILLA MOHAMAD